Israel tidak hormat Ramadan, sasar masjid di Tebing Barat
Astro Awani
Mac 9, 2025 11:40 MYT
Mac 9, 2025 11:40 MYT
Keadaan di dalam Masjid Al-Nasr selepas dibakar tentera Israel. - Foto X/@PalpostN
TEBING BARAT: Penduduk Palestin mengutuk tindakan tentera Israel membakar sebuah masjid bersejarah di bandar Nablus, Tebing Barat yang diduduki ketika melakukan serbuan semalam.
Rakaman AFPTV menunjukkan warga Palestin memeriksa bahagian dalam Masjid Al-Nasr yang menjadi mercu tanda warisan penting di kota lama Nablus.
Masjid tersebut hangus dan sebahagiannya terbakar selepas operasi ketenteraan yang dilaporkan berlaku antara pukul 2 pagi dan 6.30 pagi.
Pihak berkuasa agama tempatan berkata, sejumlah enam masjid telah menjadi sasaran dan kerosakan itu berlaku ketika umat Islam menyambut Jumaat pertama bulan suci Ramadan.
Datuk Bandar Nablus, Husam Shakhshir berkata, tentera Israel turut sengaja menghalang pasukan bomba daripada sampai ke lokasi kebakaran.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin menyifatkan kerosakan terhadap masjid-masjid di Nablus sebagai serangan serius dan rancangan sistematik dari segi skala dan masa.
Pengarah Wakaf Nablus, Sheikh Nasser Al-Salman berkata, Israel berusaha keras untuk menceroboh tempat suci Islam dan masjid dengan pantas sepanjang Ramadan.
Israel telah melancarkan serangan selama beberapa minggu di utara Tebing Barat bermula di sekitar kem pelarian yang dianggap sebagai kubu pertahanan rakyat Palestin.
Tentera Israel kemudian meluaskan serbuannya di lebih banyak kawasan menyebabkan puluhan ribu orang terpaksa berpindah selain menyaksikan penggunaan kereta kebal Israel di wilayah itu buat pertama kali dalam 20 tahun.