Israel teruskan operasi ketenteraan di Jenin, angka kematian meningkat

Bernama
Julai 4, 2023 20:00 MYT
Jumlah kematian meningkat kepada 10 sejak bermulanya operasi ketenteraan besar-besaran Israel di Tebing Barat. - Foto AP
RAMALLAH/TEL AVIV: Jumlah kematian meningkat kepada 10 sejak bermulanya operasi ketenteraan besar-besaran Israel di Tebing Barat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Mayat seorang warga Palestin dengan kesan tembakan ditemukan semalam, menurut Kementerian Kesihatan di Ramallah. Selain itu, 100 orang cedera dengan 20 lagi kritikal.
Pada Isnin, Israel melancarkan satu lagi operasi ketenteraan terbesar di Tebing Barat dalam beberapa dekad.
Dari Ahad hingga Isnin, 1,000 askar Israel memasuki bandar Jenin di utara Palestin berikutan beberapa serangan udara dan bertempur selama beberapa jam dengan penduduk Palestin.
Menurut tentera Israel, operasi itu menyasarkan infrastruktur 'pengganas' Palestin.
Jenin dan kem pelariannya dianggap kubu kuat 'militan'. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, penduduk bandar itu telah melakukan beberapa serangan terhadap warga Israel.
Menurut laporan Palestin, beribu-ribu orang telah dipindahkan pada waktu malam ke pusat perlindungan kecemasan berdekatan kem pelarian yang mempunyai kira-kira 17,000 penduduk.
Tidak dapat dipastikan berapa lama tentera Israel akan meneruskan operasinya.
-- BERNAMA
#Israel #Jenin #Palestin #operasi ketenteraan
;