BEIRUT: Sekurang-kurangnya 95 orang terbunuh dalam serangan Israel di Lubnan sejak 24 jam lalu, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.

Dalam masa sama, 172 mangsa lain mengalami kecederaan, kata kementerian itu.

Serangan udara dilancarkan Israel di bandar Beirut pada awal pagi Isnin, kali pertama serangan berlaku dalam sempadan bandar ibu negara Lubnan sejak perang Israel-Hamas tercetus pada 7 Oktober tahun lalu.

Sehingga kini, serangan udara Israel ke atas Beirut tertumpu di bahagian selatan bandar itu iaitu kawasan yang padat dengan penduduk dan kebanyakannya terdiri daripada golongan Syiah yang juga kubu kuat Hezbollah. - Agensi