Israel terus bantai Gaza, puluhan lagi nyawa syahid
Astro Awani
Januari 9, 2025 09:40 MYT
Januari 9, 2025 09:40 MYT
GAZA: Serangan udara Israel meragut puluhan nyawa di seluruh Gaza pada Rabu, ketika rundingan untuk menghentikan konflik diteruskan di Qatar.
Menurut pekerja perubatan Palestin, serangan udara Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang di sebuah rumah bertingkat di kawasan Sheikh Radwan di Gaza City.
Tentera Israel mendakwa mereka menyasarkan Hamas yang beroperasi di sebuah bangunan sekolah di Jabalia dan telah mengambil langkah untuk meminimakan risiko kepada orang awam.
Kematian besar-besaran ini menjadi rutin harian di Gaza dengan lebih 46,000 penduduk Palestin dilaporkan terbunuh sepanjang 15 bulan serangan Israel terhadap Hamas.
Ketika serangan udara Israel berterusan, usaha untuk mencapai perjanjian gencatan senjata diterajui oleh Amerika Syarikat (AS), Qatar dan Mesir.
Menurut sumber rapat dengan rundingan tersebut, ini merupakan rundingan paling signifikan untuk mencapai perjanjian setakat ini.
Pentadbiran AS yang bakal tamat tempoh telah mendesak usaha terakhir untuk mencapai perjanjian sebelum Presiden Joe Biden meninggalkan jawatan.
Banyak pihak di rantau ini melihat tarikh pelantikan presiden baharu, Donald Trump pada 20 Januari, sebagai tarikh akhir tidak rasmi.
Kementerian Kesihatan Gaza memberi amaran bahawa Hospital Nasser dan Hospital Gaza Eropah mungkin terpaksa menghentikan operasi dalam beberapa jam jika aliran bahan bakar terus disekat oleh Israel.
Badan perubatan Médecins Sans Frontières turut memberi amaran bahawa dua hospital tersebut, serta Hospital Al Aqsa, berada dalam risiko operasi yang mengancam nyawa ratusan pesakit termasuk bayi yang baru lahir.
Kempen Israel di Gaza telah memusnahkan sebahagian besar wilayah itu, menyebabkan kebanyakan 2.1 juta penduduknya menjadi pelarian berkali-kali.
Mereka kini menghadapi kekurangan makanan dan ubat-ubatan yang kritikal, kata agensi kemanusiaan.
Sementara itu, hujan lebat dan banjir telah memburukkan lagi keadaan, dengan keluarga yang tinggal di khemah rosak terpaksa bertahan dalam air setinggi 30cm tanpa keperluan asas seperti selimut.