Israel tanya perwakilan asing sama ada bersedia sekiranya konflik berterusan

Agensi
Januari 26, 2024 09:15 MYT
Kementerian Luar Israel telah menulis surat kepada perwakilan diplomatik di negara itu untuk bertanya sama ada mereka mempunyai bekalan generator sokongan dan telefon satelit sekiranya berlaku "peningkatan keselamatan." - Gambar fail
KEMENTERIAN Luar Israel telah menulis surat kepada perwakilan diplomatik di negara itu untuk bertanya sama ada mereka mempunyai bekalan generator sokongan dan telefon satelit sekiranya berlaku "peningkatan keselamatan", di tengah-tengah kebimbangan perangnya dengan Hamas boleh mencetus menjadi konflik yang lebih luas.
Sejak Hamas melancarkan serangan 7 Oktober ke atas Israel yang mencetuskan perang, ketegangan telah memuncak di seluruh Asia Barat, dengan tentera Israel merentasi sempadan dengan pasukan pejuang Hezbollah di Lubnan, sementara Houthi di Yaman menembak peluru berpandu ke Israel dan menyasarkan kapal dagangan di Laut Merah .
Memetik laporan Financial Times, dalam mesej kepada ketua-ketua misi diplomatik di Israel bertarikh 22 Januari lalu, Kementerian Luar Negeri Israel berkata, ia sedang mengumpul maklumat "sebagai persediaan kemungkinan peningkatan keselamatan yang akan menyebabkan gangguan bekalan elektrik."
Surat berkenaan bertanya sama ada perwakilan diplomatik memiliki generator dan berapa lama mereka boleh meneruskan operasi dengan bekalan yang ada.
Kementerian itu turut bertanya kepada kesemua misi asing sama ada mereka mempunyai telefon satelit, lapor Financial Times lagi.
Sekiranya perwakilan asing memiliknya, mereka diminta untuk melakukan ujian dengan menghubungi Kementerian Luar berkenaan.
Diplomat di Israel paling bimbang situasi di sempadan Lubnan, di mana tembakan rentas sempadan antara tentera Israel dan Hezbollah yang disokong Iran - salah seorang pelaku bukan negara yang memiliki senjata paling lengkap di dunia - telah meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Dalam perkembangan sama, surat bertarikh 22 Januari daripada Kementerian Luar Israel itu juga telah mengundang perbezaan pendapat dalam kalangan diplomat.
Spekulasi kedengaran bahawa mesej itu berkemungkinan satu percubaan menggalakkan negara-negara yang mempunyai hubungan dengan Lubnan memberi tekanan kepada Beirut untuk mencapai perjanjian dengan Israel bagi mengurangkan ketegangan di sempadan utara.
"Jika anda benar-benar fikir akan ada peningkatan, anda akan bertanya lebih daripada dua soalan ini," kata seorang diplomat.
Bagaimanapun, yang lain berkata mereka meragui bahawa komunikasi itu bertujuan untuk merangsang diplomat supaya menekan Lubnan.
“Yang pasti, ia adalah luar biasa. Ia bukan sesuatu yang anda lihat setiap hari. Tetapi saya tidak fikir ia adalah wajar untuk melihat perkara itu dengan lebih mendalam.
“Jika Israel mahu kami bercakap dengan Lubnan, biasanya mereka memberitahu kami. Mereka berterus terang,” kata seorang lagi diplomat.
Kementerian Luar Israel, bagaimanapun, belum memberi maklum balas mengenai laporan itu.
#Perang Palestin-Israel #Israel #perwakilan asing #ketegangan di Gaza
;