Israel tahan adik lelaki ikon perjuangan Palestin

Astro Awani
April 8, 2019 17:31 MYT
Ahed Al-Tamimi (tengah) dan ibunya telah ditahan pada akhir 2017 oleh pihak berkuasa Israel. - Gambar fail
Tentera Israel didakwa menahan adik lelaki ikon perjuangan Palestin, Ahed Tamimi, dalam satu serbuan di rumah keluarga itu di Tebing Barat yang diduduki rejim itu pada Isnin.
AP memetik bapanya Bassem Tamimi berkata, tentera Israel memecah masuk rumah mereka pada awal pagi dan menangkap anaknya, Mohamed, yang berusia 15 tahun.
"Pasukan tentera Israel telah menyerbu kediaman kami di Kampung Nabi Sali berhampiran Ramallah dan menahan anak lelaki saya Mohamed," kata ibu Ahed, Nariman.
BACA: Ahed Tamimi hiasi muka depan Vogue Arabia
Menurut Bassem, Mohamed pada hujung minggu sebelum itu mengalami patah lengan ketika melarikan diri dari semburan gas pemedih mata pada satu protes yang diadakan di kampung mereka di mana dia disyaki telah membaling batu ke arah tentera Israel.
Bagaimanapun, alasan di sebalik penahanan itu masih tidak jelas.
BACA: Serikandi Palestin terima penghormatan Real Madrid
Tentera Israel berkata, pihaknya menahan 21 warga Palestin atas kesalahan merusuh dan melakukan kekacauan, tetapi belum mengeluarkan kenyataan lengkap mengenainya.
Ahed, 18 tahun, dan ibunya telah ditahan pada akhir 2017 oleh pihak berkuasa Israel namun kedua-duanya dibebaskan pada lewat Julai tahun lalu selepas meringkuk selama lapan bulan dalam penjara.
BACA: Cucu Nelson Mandela jemput aktivis remaja Palestin ke Afrika Selatan
Remaja terbabit dianggap sebagai wira oleh rakyat Palestin kerana berani bertindak ke atas rejim anggota zionis itu.
Bagi mereka, Tamimi adalah ikon nasional dan diangggap sebagai simbol penentangan ke atas pendudukan Israel.
#Ahed al-Tamimi #Ahed Tamimi #Israel #Nariman al-Tamimi #Palestin #serbuan #tentera
;