Israel, Sudan bakal meterai perjanjian menormalkan hubungan - Eli Cohen
Bernama
Februari 3, 2023 12:42 MYT
Februari 3, 2023 12:42 MYT
BAITULMAQDIS: Israel dan Sudan dijangka menandatangani perjanjian bagi menormalkan hubungan pada tahun ini, kata Menteri Luar Israel Eli Cohen pada Khamis.
"Lawatan ke Sudan sudah meletakkan asas bagi perjanjian damai bersejarah dan perjanjian yang dicadangkan itu akan menggalakkan kestabilan serantau dan menyumbang kepada keselamatan negara," kata Cohen pada sidang media sejurus kembali daripada mengadakan lawatan ke Khartoum, lapor Xinhua.
Dalam satu kenyataan berasingan, Majlis Kedaulatan Sudan berkata rundingan itu diadakan dengan matlamat untuk mewujudkan hubungan yang membuahkan hasil dengan Israel dan mengukuhkan kerjasama dua hala dalam isu keselamatan dan ketenteraan.
Sudan bakal menjadi negara Arab keempat yang menandatangani perjanjian menormalkan hubungan dengan Israel .
Kesepakatan itu sebahagian daripada Perjanjian Abraham, satu siri perjanjian yang diusahakan oleh AS yang dicapai Israel dengan Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Maghribi pada 2020.
Mesir dan Jordan menandatangani perjanjian damai dengan Israel masing-masing pada 1979 dan 1994.
Sudan dan Israel mengumumkan kesediaan untuk menjalin hubungan diplomatik pada Oktober 2020 tetapi perjanjian itu masih belum dimuktamadkan.
-- BERNAMA