Israel serang pelabuhan Hodeidah di Yaman
Astro Awani
Julai 21, 2024 08:20 MYT
Julai 21, 2024 08:20 MYT
LETUPAN disusuli kebakaran dilaporkan berlaku di pelabuhan Hodeidah, Yaman, susulan serangan jet pejuang Israel di lokasi yang mensasarkan tentera pada Sabtu.
Israel memaklumkan, serangan dilancarkan sehari selepas dron yang dilepaskan pejuang Houthi yang disokong Iran, menyerang hab ekonomi Israel, Tel Aviv.
Dalam kejadian pada Sabtu, sekurang-kurangnya tiga terbunuh dan 87 cedera, dalam serangan terhadap kemudahan minyak dan stesen janakuasa di Hodeidah.
Insiden itu dilaporkan Al-Masirah TV, saluran berita televisyen utama yang dikendalikan pergerakan Houthi.
Jurucakap tentera Israel dipetik berkata, pelabuhan itu telah digunakan Houthi untuk menerima penghantaran senjata dari Iran.
Lokasi sasaran tersebut, terletak lebih 1,700km dari Israel, termasuk tapak-tapak dwiguna seperti infrastruktur tenaga, katanya.
Majlis Politik Tertinggi Houthi berkata, akan ada "tindak balas efektif” terhadap serangan udara Israel itu.
Jurucakap tentera Houthi Yahya Saree juga berkata, Houthi "tidak akan teragak-agak menyerang sasaran penting Israel."
Serangan ke atas Yaman berlaku selepas lebih 200 serangan Houthi ke atas Israel, menimbulkan kebimbangan konflik di Gaza sejak 7 Oktober lalu boleh bertukar menjadi konflik serantau. - Agensi