Israel serang lagi pinggir bandar Beirut ketika pertempuran di sempadan memuncak

Bernama
Oktober 6, 2024 00:28 MYT
Pesawat perang Israel giat mengebom kawasan pinggir bandar selatan Beirut awal Ahad, menyasarkan kawasan kediaman dan mencetuskan kebakaran yang berterusan hingga ke pagi. - Foto REUTERS
BEIRUT: Pesawat perang Israel giat mengebom kawasan pinggir bandar selatan Beirut awal Ahad, menyasarkan kawasan kediaman dan mencetuskan kebakaran yang berterusan hingga ke pagi, lapor Xinhua yang memetik Agensi Berita Nasional Lubnan.
Serangan itu menyasarkan sebuah bangunan di antara kejiranan Al-Laylaki dan Al-Mrayjeh. Penduduk terjaga melihat asap berkepul-kepul dan api yang marak, akibat lebih daripada 30 serangan berasingan sepanjang malam, menurut pegawai tempatan.
Serangan besar-besaran Israel, yang bermula pada 23 Sept, kini telah diperluas melepasi kubu kuat Hizbullah dan merangkumi infrastruktur awam.
Sebuah stesen minyak di jalan lapangan terbang lama dan sebuah gudang bekalan perubatan adalah antara yang menjadi sasaran, dengan serangan ke atas gudang menyebabkan kebakaran yang mencetuskan letupan daripada silinder oksigen yang disimpan.
Jurucakap tentera Israel Avichay Adraee mendakwa serangan itu menyasarkan "peralatan tempur Hizbullah dan struktur pengganas di kawasan Beirut" tetapi tentera Israel tidak mengemukakan bukti untuk menyokong dakwaannya.
Konflik di sepanjang sempadan Lubnan-Israel kembali tercetus. Pertempuran sengit berlaku antara pejuang Hizbullah dan pasukan darat Israel di kampung-kampung terletak di sempadan.
Sumber tentera Lubnan yang tidak mahu dikenali melaporkan bahawa konfrontasi itu bermula sekitar pukul 1 pagi waktu tempatan (2200 GMT pada Sabtu), melibatkan mesingan, artileri, dan roket.
Hizbullah mendakwa telah menghalang cubaan penyusupan Israel, mengakibatkan kecederaan.
Menjelang pagi, pasukan Israel dilaporkan telah berundur ke belakang Garis Biru, sempadan yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) antara Lubnan dan Israel, namun tembakan artileri masih menggegarkan kawasan itu.
Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan bahawa serangan udara Israel dalam tempoh 24 jam lepas sahaja telah mengorbankan 23 orang dan mencederakan 93 orang di pelbagai wilayah negara ini.
Sejak 23 Sept, tentera Israel telah meningkatkan serangan udaranya terhadap Hizbullah di seluruh Lubnan, mengakibatkan kematian orang awam yang signifikan dan memaksa penduduk meninggalkan banyak kawasan.
Serangan udara itu juga menyasarkan dan membunuh pemimpin penting Hizbullah, termasuk Setiausaha Agung kumpulan itu, Hassan Nasrallah. Selain itu, Israel telah melancarkan apa yang digambarkannya sebagai operasi darat "terhad" di Lubnan.
Peningkatan ini telah memburukkan lagi pertempuran berterusan antara Israel dan Hizbullah, yang bermula pada 8 Okt 2023 apabila Hizbullah melancarkan serangan roket ke Israel bagi menyokong Hamas di Semenanjung Gaza, mendorong serangan balas dan serangan udara oleh Israel di tenggara Lubnan.
-- BERNAMA
#serangan Israel #beirut #lubnan #pertempuran
;