Israel serang Gaza, ragut 9 nyawa termasuk wartawan
Astro Awani
Mac 16, 2025 09:30 MYT
Mac 16, 2025 09:30 MYT
Beberapa jam selepas serangan di Beit Lahiya, dua lagi rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel di bandar Juhr Eldeek, Gaza Tengah. - Foto AP
GAZA: Sekurang-kurangnya sembilan rakyat Palestin, termasuk tiga wartawan tempatan, terbunuh dalam serangan udara Israel di bandar Beit Lahiya, utara Gaza, pada Sabtu.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, serangan tersebut turut mencederakan beberapa individu lain, dengan beberapa mangsa berada dalam keadaan kritikal.
Pegawai kesihatan memaklumkan serangan itu mengenai sebuah kenderaan, menyebabkan korban dalam dan luar kenderaan tersebut.
Menurut saksi serta rakan-rakan wartawan, individu di dalam kenderaan tersebut sedang menjalankan misi kemanusiaan untuk badan amal Al-Khair Foundation di Beit Lahiya.
Mereka ditemani oleh wartawan dan jurugambar ketika serangan berlaku.
Tentera Israel dalam satu kenyataan mendakwa serangan itu menyasarkan dua individu yang didakwa mengendalikan dron yang mengancam pasukan mereka di Beit Lahiya.
Tentera Israel turut menyatakan bahawa mereka kemudiannya menyerang beberapa individu lain yang didakwa telah mengumpulkan peralatan dron sebelum memasuki sebuah kenderaan.
Namun, pihak tentera tidak memberikan butiran lanjut tentang bagaimana mereka mengenal pasti individu-individu tersebut sebagai "pengganas" atau ancaman yang didakwa ditimbulkan oleh dron itu.
Ketua pejabat media kerajaan Gaza yang dikendalikan Hamas, Salama Marouf, menafikan dakwaan Israel.
Beliau menegaskan bahawa pasukan tersebut adalah orang awam yang menjalankan tugas di kawasan berhampiran tempat perlindungan dan tidak menimbulkan sebarang ancaman terhadap tentera Israel.
Beberapa jam selepas serangan di Beit Lahiya, dua lagi rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel di bandar Juhr Eldeek, Gaza Tengah.
Bagaimanapun, tentera Israel menyatakan mereka tidak mengetahui tentang insiden tersebut.
Hamas dalam satu kenyataan menuduh Israel cuba melanggar perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui pada 19 Januari lalu.
Menurut Hamas, sejak tarikh itu, sekurang-kurangnya 150 rakyat Palestin telah terbunuh akibat serangan Israel.