Israel selar Setiausaha Agung PBB, dakwa berat sebelah

Astro Awani
November 15, 2023 08:15 MYT
Cohen juga berkata, perhatian dunia tidak menyebelahi Israel dan menganggap ia sebagai berat sebelah. - Foto REUTERS
GENEVA: Menteri Luar Israel, Eli Cohen menyelar Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres dan mendakwa beliau tidak layak untuk menerajui pertubuhan global itu.
Cohen juga mendakwa, Guterres tidak melakukan usaha yang cukup untuk mengecam tindakan kumpulan pejuang Hamas yang bekerja rapat dengan Iran yang didakwa ingin memusnahkan Israel.
Kenyataan itu dinyatakan ketika sidang media di Geneva selepas pertemuan dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dan ahli keluarga tebusan Israel.
“Guterres tidak layak menjadi ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Guterres tidak menggalakkan sebarang proses damai di rantau ini.
"Iran adalah ahli dalam PBB dan ia) enyeru kemusnahan negara Israel. Sebuah negara yang menyeru kemusnahan untuk negara lain, dia tidak boleh menjadi ahli di PBB dan anda boleh melihat bagaimana Guterres duduk bersama mereka,” katanya.
Cohen juga berkata, perhatian dunia tidak menyebelahi Israel dan menganggap ia sebagai berat sebelah.
Cohen, yang bertemu dengan Presiden ICRC Mirjana Spoljaric pada awal Selasa, berkata beliau menjangkakan badan berkecuali itu akan melakukan lebih banyak lagi untuk mendapatkan akses kepada mereka.
Sebelum ini, Guterres memberi kenyataan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan operasi ketenteraan Israel.
Ia susulan ikrar yang diangkat oleh rejim Zionis itu untuk menghapuskan Hamas, namun memasuki hari ke-39 pertempuran, angka kematian orang awam di Gaza melebihi 11,000 nyawa.
Lantas, menimbulkan persoalan daripada Guterres dan badan global itu tentang keberangkalian jenayah antarabangsa yang dilakukan oleh Israel.
Israel selar Setiausaha Agung PBB, dakwa berat sebelah
#Eli Cohen #Israel #Gaza #PBB
;