Israel sekat bantuan yang dianggap boleh diguna Hamas

Agensi
Januari 6, 2024 11:25 MYT
Israel menyekat beberapa baragan bantuan dari memasuki Palestin seperti baja yang boleh digunakan untuk membuat bahan letupan, besi khemah untuk mengeluarkan roket dan peralatan tukangan.
RAFAH: Pembersih air, bekalan perubatan dan tiang khemah adalah antara barangan yang telah disekat Israel daripada memasuki Gaza dengan trak bantuan.
Israel dikatakan memeriksa trak yang menuju ke wilayah Palestin dan menyekat sebarang peralatan yang dianggapnya berpotensi digunakan oleh tentera Hamas.
Isu barangan yang boleh masuk atau tidak ke Palestin telah menjadi lebih mendesak dan dipertikaikan sejak perang berlaku pada 7 Oktober lalu.
Konflik itu telah menyebabkan kebanyakan penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal terus kekurangan dari segi bantuan makanan, air, ubat-ubatan dan keperluan asas yang lain.
“Kami adalah orang pertama yang sampai ke (Rafah) di sini, kami mencari khemah. Mereka memberi kami khemah tanpa tiang jadi kami enggan mengambilnya.
“Saya terpaksa membeli kayu dan saya buat ini. Ini berharga 250 shekel (70 AS dolar),” kongsi seorang pelarian Gaza, Ashraf Abu Sakran.
Pertubuhan Bulan Sabit Merah Mesir berkata, sebanyak 1,200 penulen air, 100 silinder oksigen, sebuah penjana oksigen, 1,000 barangan berkuasa solar, 24 penjana kuasa dan 418 bekalan perubatan telah disekat sejak perang bermula.
Bagaimanapun, Agensi Kementerian Pertahanan Israel, COGAT yang menyelaras penghantaran bantuan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan kemanusiaan menafikan melakukan sekatan bantuan.
Dalam pada itu, doktor di hospital Gaza berkata, peralatan seperti silinder oksigen dan mesin x-ray tidak dapat masuk ke Palestin, walaupun ia sangat diperlukan.
“Hari ini kita bercakap tentang pesakit buah pinggang dan kanser, kita tidak mendapat peranti yang diperlukan untuk rawatan mereka.
“Kami berhenti melakukan pembedahan untuk pesakit tulang, kerana kami tidak mempunyai x-ray, yang kami gunakan untuk merakam pembedahan. Zionis tidak membenarkan barang ini masuk,” kata Pengerusi Lembaga Pegarah Kuwaiti Hospital Rafah, Dr Suhaib Al-Hams.
Dalam perkembangan sama, seorang pekerja kemanusiaan dari kumpulan bantuan antarabangsa berkata, beberapa jenis peralatan perubatan termasuk mesin x-Ray tidak dibenarkan masuk oleh Israel kerana Zioni itu bimbang dibimbangi Hamas akan salah guna.
Di Rafah, timbunan kanvas tebal tersadai merata-rata kerana tiada tiang untuk mendirikan khemah.
Seorang pegawai Kementerian Hal Ehwal Sosial Gaza berkata, beliau menyedari kira-kira 150 khemah tiba tanpa tiang, daripada 30 trak yang sarat dengan khemah.
Israel juga menyekat beberapa baragan bantuan dari memasuki Palestin seperti baja yang boleh digunakan untuk membuat bahan letupan, besi khemah untuk mengeluarkan roket dan peralatan tukangan. - Agensi
#Hamas #pelarian #Zionis #Perang Palestin-Israel
;