Israel sedia teruskan pertempuran selepas gencatan senjata

Astro Awani
November 29, 2023 08:30 MYT
Herzi Halevi bersama seorang pegawai tentera IDF ketika melawat anggota tentera yang terlibat dalam operasi darat di Gaza. - Foto REUTERS
BAITULMAQDIS: Israel umum akan meneruskan operasi ketenteraan di Gaza selepas gencatan senjata tamat.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Angkatan Pertahanan Israel (IDF), Herzi Halevi yang menyifatkan tentera IDF kini berada pada tahap kesiap siagaan untuk meneruskan pertempuran.
"IDF bersedia hari ini untuk meneruskan pertempuran.
"Kami menggunakan hari-hari jeda sebagai sebahagian daripada rangka kerja untuk belajar, mengukuhkan kesediaan kami dan meluluskan rancangan operasi masa depan," katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu juga mengulangi amaran akan menyambung operasi ketenteraan di Gaza setelah selesai perbincangan bersama kabinet Israel.
Netanyahu juga berkata, tiga matlamat yang ingin dicapai Israel termasuk pembebasan tebusan, menjadikan Gaza seperti keadaan sedia ada dan menghapuskan kumpulan pejuang Hamas.
Sementara itu, menurut angka Israel, kira-kira 1,200 orang terbunuh dan kira-kira 240 yang lain ditahan sebagai tebusan semasa serangan pada 7 Oktober.
#Israel #Gaza #Hamas #gencatan senjata
;