Israel sasar serang rangkaian kewangan Hezbollah
Agensi
Oktober 20, 2024 07:00 MYT
Oktober 20, 2024 07:00 MYT
TEL AVIV: Israel merancang untuk melakukan serangan yang bertujuan mengganggu rangkaian kewangan Hezbollah, kata jurucakap Angkatan Pertahanan Israel (IDF), Daniel Hagari, dalam satu taklimat pada Ahad.
Serangan itu akan menyasarkan Persatuan Al-Qard Al-Hassan iaitu kumpulan pejuang yang berpangkalan di Lubnan, kata Hagari.
Menurut saluran TV Hezbollah, Al-Manar, persatuan tersebut merupakan sebuah institusi kewangan yang bukan berasaskan keuntungan yang dikaitkan dengan Hezbollah dan ditubuhkan pada 1983.
Al-Qard Al Hassan menawarkan pinjaman tanpa faedah untuk mengurangkan kemiskinan dalam komuniti Syiah, berdasarkan prinsip Islam mengenai pinjaman tanpa faedah.
Hagari berkata, IDF merancang untuk menyasarkan kemudahan Al-Qard Al-Hassan di seluruh Lubnan untuk mengganggu rangkaian kewangan Hezbollah dan menghakis kepercayaan antara organisasi itu dan populasi Syiah.
Beliau turut menegaskan, Al-Qard Al-Hassan memainkan peranan penting dalam membiayai operasi Hezbollah.
Organisasi itu berfungsi seperti sebuah bank tetapi tidak terhubung dengan SWIFT - sebuah perkhidmatan mesej yang menghubungkan institusi kewangan di seluruh dunia - untuk mengelakkan sekatan, katanya.
Menurut Hagari, Hezbollah menggunakan institusi tersebut untuk membayar gaji kepada operasifnya dan memberikan sokongan kepada orang awam dengan sekitar 300,000 orang, kebanyakannya komuniti Syiah, menggunakan sistem itu. - Agensi