Israel, pejuang Palestin setuju gencatan senjata

Astro Awani
Ogos 8, 2022 08:50 MYT
Petugas kesihatan dan orang ramai memeriksa sebuah kereta yang penumpangnya maut susulan serangan udara Israel di Gaza. - Foto AP
GAZA: Israel dan pejuang Palestin bersetuju melaksanakan gencatan senjata di Gaza sebagaimana dicadangkan Kaherah.
Sumber keselamatan Mesir berkata, persetujuan dicapai selepas serangan hujung minggu ke atas sasaran Palestin oleh Israel yang mendorong pejuang menyasarkan serangan balas roket jarak jauh.
Israel bersetuju dengan cadangan itu, manakala seorang pegawai Palestin yang maklum mengenai usaha Mesir itu berkata, gencatan senjata bermula pada jam 8 malam Ahad waktu tempatan.
Jurucakap Israel dan kumpulan Jihad Islam yang berperang di Gaza sejak pertempuran meletus pada Jumaat bagaimanapun tidak mengesahkan perkara berkenaan.
Mereka hanya memaklumkan mereka akan berhubung dengan Kaherah.
Pertempuran sejak Jumaat lalu yang hampir sama seperti Perang Gaza sebelum ini, mencetuskan kebimbangan kuasa besar yang menjadi perantara damai di Asia Barat.
Namun, ia masih terkawal kerana Hamas yang mentadbir semenanjung Gaza dan memiliki tentera lebih hebat berbanding Jihad Islam yang disokong Iran, tidak masuk campur setakat ini.
Pihak berkuasa Gaza memaklumkan lebih 30 warga Palestin, dengan sekurang-kurangnya satu pertiga daripadanya orang awam, terbunuh setakat ini.
BACA: Seorang lagi komander kanan JIP terkorban dalam serangan udara Israel di Palestin
Roket dilancarkan kumpulan Jihad Islam melumpuhkan sebahagian besar selatan Israel dan menyebabkan penduduk di beberapa bandar, termasuk Tel Aviv dan Ashkelon berlindung di tempat perlindungan bom.
Jihad Islam sebelum ini memperluas jarak serangannya ke arah Baitulmaqdis, yang disifatkan sebagai tindak balasnya terhadap tindakan Israel membunuh komandernya di selatan Gaza, iaitu pegawai kanan keduanya yang terbunuh dalam pertempuran itu.
Israel pula memaklumkan sistem pertahanan 'Iron Dome', yang memiliki kadar kejayaan 97 peratus, memintas roket di bahagian barat bandar itu.
#gencatan senjata #Perang Gaza #damai #Asia Barat
;