Israel naik angin Malaysia halang kemasukan atletnya

Astro Awani
Januari 18, 2019 15:24 MYT
ISRAEL melenting dengan pendirian tegas Malaysia yang tidak membenarkan kemasukan atletnya bagi menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 pada Julai depan. - Gambar fail
ISRAEL ternyata tidak senang dengan keputusan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyekat kemasukan atlet dari negara itu untuk menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang berlangsung dari 29 Julai hingga 4 Ogos depan.
Melenting dengan keputusan Malaysia itu, Israel menggelar Mahathir sebagai 'anti-Semitisme melampau'.
“Ini memalukan dan sama sekali bercanggah dengan semangat Olimpik,” kata jurucakap Kementerian Luar Israel, Emmanuel Nahshon seperti dilapor agensi berita Reuters pada Jumaat.
Pada 10 Januari lalu, Dr. Mahathir menegaskan, Putrajaya tetap dengan pendirian untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 dan Malaysia juga bersedia jika penganjur menarik balik hak penganjuran kejohanan tersebut jika mereka tidak berpuas hati dengan pendirian kerajaan.
Mahathir, 93, yang memimpin Malaysia buat kali kedua sebagai Perdana Menteri sejak sekian lama terkenal dengan pendirian kerasnya terhadap Yahudi.
BACA: Malaysia tetap pendirian tidak terima penyertaan atlet Israel - Syed Saddiq
Dalam kenyataan yang sama, Nahshon menggesa penganjur Kejohanan Renang Para Dunia 2019, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) untuk menukar venue pertandingan seandainya Malaysia enggan mengubah pendirian.
Sebelum ini, Jawatankuasa Olimpik Israel membuat bantahan dan memberi tekanan kepada penganjur agar atlet mereka diberikan visa.
Ini adalah kerana kejohanan itu penting bagi kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
#Israel #Kejohanan Renang Para Dunia 2019 #Mahathir Mohamad #Malaysia #Perdana Menteri
;