Israel nafi akses 51 peratus misi bantuan dirancang ke utara Gaza
Astro Awani
Februari 21, 2024 07:30 MYT
Februari 21, 2024 07:30 MYT
ISRAEL nafi akses lebih separuh misi dirancang agensi kerja dan bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian Palestin (UNRWA) serta rakan kemanusiaannya untuk menyampaikan bantuan di utara Semenanjung Gaza sejak awal tahun ini.
UNRWA dalam catatan di platform X berkata, sejak awal tahun ini, 51 peratus misi dirancang agensi itu dan rakan kemanusiaannya bagi menyampaikan bantuan serta menjalani penilaian di utara Gaza dinafikan akses oleh pihak berkuasa Israel.
Berikutan itu, agensi berita Anadolu melaporkan, keterjaminan makanan di utara Gaza mencapai keadaan sangat kritikal.
Antara lain, agensi itu berkata, sejak 17 November 2023, penduduk di utara wilayah itu berada dalam keadaan di ambang kebuluran.
Serangan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober lalu menyebabkan kira-kira 85 peratus penduduk Gaza hilang tempat tinggal.
Manakala bilangan trak bantuan memasuki wilayah itu berkurangan berbanding sebelum konflik bermula.