Israel musnahkan masjid di Hebron
Faida Rahim
Disember 7, 2022 06:30 MYT
Disember 7, 2022 06:30 MYT
GAZA: Tentera Israel dilaporkan memusnahkan sebuah masjid di kompleks Khallet Taha, barat daya Hebron yang merupakan lokasi utama tempat ibadah umat Islam Palestin.
Dengan senjata api, tentera Israel menyerbu daerah Khallet Taha dan merobohkan masjid yang memiliki keluasan 100 meter persegi itu.
Dalam pada itu, Kementerian Wakaf Palestin mengesahkan tentera Israel menghancurkan Masjid Rasulullah di Hebron.
"Masjid ini dibina di Khallet Taha untuk penduduk di sana yang tidak mempunyai masjid lain di kawasan itu," kementerian itu dipetik sebagai berkata oleh Monitor Timur Tengah.
Israel selama ini berusaha menduduki tanah persendirian itu yang berkeluasan 3,000 kilometer persegi, dimiliki oleh rakyat Palestin.
Dalam pada itu, Pengarah Wakaf Hebron, Nidal al-Jabari memaklumkan tentera Israel juga akan meneruskan pembinaan lif dan laluan pelancong di lokasi masjid.
Sementara itu, pengarah masjid, Ghassan Rajabi, mengutuk keras kerja pembinaan dan menganggapnya sebagai pelanggaran hak dan keganasan.
Bandar Hebron merupakan kawasan penempatan untuk 160,000 warga Palestin dan dianggarkan 800 tentera Israel yang terkenal dengan sikap agresif juga tinggal di kawasan itu.