Israel minta rakyat berlindung selepas pencerobohan 'pesawat musuh' dari Lubnan

Bernama
Oktober 12, 2023 16:00 MYT
Tentera Israel mendakwa "terdapat aktiviti penyusupan yang disyaki dari Lubnan ke ruang udara Israel", namun tidak menyatakan jenis pesawat berkenaan. - Gambar fail/ Reuters
BAITULMAQDIS: Tentera Israel pada Rabu mendakwa sebuah pesawat musuh memasuki utara Israel dari Lubnan, lalu menggesa penduduknya mencari tempat perlindungan, lapor Xinhua.
Tentera Israel dalam satu kenyataan mendakwa "terdapat aktiviti penyusupan yang disyaki dari Lubnan ke ruang udara Israel", namun tidak menyatakan jenis pesawat berkenaan.
Siren amaran "pesawat musuh" kedengaran di seluruh wilayah Galilea dan Dataran Tinggi Golan.
"Semua orang awam di kawasan terjejas diminta berlindung di pusat perlindungan dan tinggal di dalamnya sehingga diberitahu kelak," menurut kenyataan itu.
Berita Kan TV milik Israel melaporkan bahawa terdapat kira-kira sedozen dron memasuki ruang udaranya dan pesawat Israel cuba memintasnya. Rakaman video di media sosial menunjukkan sebuah dron terbang di utara Israel.
Perkhidmatan penyelamat Magen David Adom Israel mendakwa tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
-- BERNAMA
#Perang Palestin-Israel #pesawat asing #ruang udara israel #lubnan
;