Israel minta ICJ tidak keluar perintah baharu isu kebuluran di Gaza

Astro Awani
Mac 18, 2024 06:30 MYT
Peguam Israel menafikan dakwaan sengaja menyebabkan penderitaan kemanusiaan di enklaf itu dengan ribuan orang mati dan kelaparan semakin meningkat. - Foto REUTERS
TEL AVIV: Israel meminta Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) supaya tidak mengeluarkan perintah kecemasan untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan ke Gaza bagi menangani kebuluran sekaligus menolak permintaan Afrika Selatan untuk berbuat demikian.
Dalam permohonan undang-undang kepada ICJ, Israel mendakwa pihaknya mempunyai kebimbangan sebenar terhadap situasi kemanusiaan dan nyawa yang tidak bersalah menerusi tindakan yang telah dan sedang diambilnya di Gaza semasa perang.
Peguam Israel menafikan dakwaan sengaja menyebabkan penderitaan kemanusiaan di enklaf itu dengan ribuan orang mati dan kelaparan semakin meningkat.
Katanya, permintaan berulang Afrika Selatan untuk langkah tambahan adalah penyalahgunaan prosedur.
Permohonan itu mendakwa, tuduhan Afrika Selatan adalah "tidak berasas sama sekali dalam fakta dan undang-undang dan secara moral menjijikkan serta penyalahgunaan Konvensyen Genosid dan mahkamah itu sendiri".
Pertukaran baharu antara parti itu adalah sebahagian daripada kes berterusan Afrika Selatan yang menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Pada bulan Januari, ICJ yang juga dikenali sebagai mahkamah dunia, mengarahkan Israel untuk menghentikan sebarang tindakan yang boleh diguna pakai di bawah Konvensyen Genosid dan memastikan tenteranya tidak melakukan tindakan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Langkah kecemasan ICJ berfungsi sebagai injunksi sementara yang bertujuan untuk mengekalkan keadaan daripada semakin buruk sebelum mahkamah boleh mendengar kes penuh, satu proses yang biasanya mengambil masa beberapa tahun.
#ICJ #Israel #Gaza #Konvensyen Genosid
;