Israel, Maghribi setuju pulihkan hubungan -Trump

Bernama
Disember 11, 2020 11:37 MYT
Donald Trump di pejabat beliau di White House, Washington, mengumumkan Israel dan Maghribi akan memulihkan hubungan dalam proses perdamaian di Timur Tengah, 7 Dis, 2020. (Foto AP)
ANKARA: Presiden Donald Trump pada Khamis mengumumkan Israel dan Maghribi "sepakat untuk menjalin hubungan diplomatik" dan menganggap perjanjian itu sebagai "kejayaan besar" untuk perdamaian di Timur Tengah, lapor Agensi Anadolu.
"Satu lagi sejarah terlakar hari ini!" ciap Trump di Twitter. "Dua rakan kami yang hebat Israel dan Maghribi telah bersetuju untuk menjalin hubungan diplomatik sepenuhnya - satu kejayaan besar untuk perdamaian di Timur Tengah!"
Maghribi menjadi negara keempat yang memulihkan hubungan dengan Tel Aviv selepas Sudan pada Oktober lalu.
Pada September, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sepakat menjalin hubungan diplomatik, budaya serta komersial dengan Israel dan perjanjian kontroversi itu dimeterai di Rumah Putih.
Perjanjian itu menerima kecaman hebat rakyat Palestin, menyifatkan ia akan mengabaikan lagi hak dan kepentingan Palestin.
Rumah Putih dalam satu kenyataan menyatakan langkah itu diambil semasa perbualan telefon antara Trump dan Raja Maghribi Raja Mohammed VI.
"Raja bersetuju untuk meneruskan hubungan diplomatik antara Maghribi dan Israel dan memperluas kerjasama ekonomi serta budaya bagi memajukan kestabilan wilayah."
Trump juga mengakui kedaulatan Maghribi di seluruh wilayah Sahara Barat.
"Hari ini, saya menandatangani pengisytiharan yang mengakui kedaulatan Maghribi ke atas Sahara Barat.
"Kesungguhan Maghribi, keyakinan dan cadangan autonomi yang realistik satu-satunya asas kepada keadilan dan penyelesaian yang berkekalan untuk keamanan dan kemakmuran!" tulis Trump di Twitter.
Diceroboh Sepanyol sehingga 1975, Sahara Barat - sebuah wilayah besar di selatan Maghribi - menjadi punca perselisihan antara Maghribi dan Polisario Front selama lebih empat dekad.
Selepas bertahun-tahun konflik, akhirnya pada 1991 kedua-dua pihak menandatangani gencatan senjata yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Polisario, sebuah gerakan pembebasan kebangsaan yang berusaha menamatkan kehadiran Maghribi di Sahara Barat, telah sekian lama menuntut referendum untuk menentukan nasib politik wilayah itu.
-- BERNAMA
#Maghribi #perdamaian #Timur Tengah #UAE #kontroversi #perjanjian #hubungan diplomatik #Israel #Tel Aviv #Sudan #kejayaan besar #pulih hubungan #Rumah Putih #White House #pengisytiharan #kedaulatan #Donald Trump
;