Israel larang lelaki Palestin berumur 12-40 tahun solat Jumaat di Masjid al-Aqsa

Bernama
April 6, 2022 11:00 MYT
Umat Islam menunaikan solat Jumaat di dataran Masjid al-Aqsa, 1 Apr 2022. (Foto AP)
BAITULMAQDIS: Israel pada Selasa melarang lelaki Palestin berumur antara 12 dan 40 tahun daripada memasuki Masjid al-Aqsa untuk menunaikan solat Jumaat ketika Ramadan.
Hanya wanita Palestin, kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dan lelaki berumur lebih 50 tahun dibenarkan masuk ke Masjid Al-Aqsa jika mahu menunaikan solat, menurut Agensi Anadolu, memetik pihak berkuasa Israel.
Lelaki berumur antara 40 dan 50 tahun perlu mendapatkan kebenaran khas terlebih dahulu.
Rakyat Palestin yang mempunyai saudara-mara di Israel akan diberi permit untuk melawat pada Ahad dan Khamis.
Rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki perlu mendapatkan kebenaran khas untuk melawat saudara-mara dan tempat suci termasuk Masjid Al-Aqsa.
Untuk keluar dari Tebing Barat yang diduduki, rakyat Palestin terpaksa melalui satu daripada 23 pusat pemeriksaan.
-- BERNAMA
#Masjid Al-Aqsa #Palestin #kebenaran khas #solat Jumaat ketika Ramadan
;