Israel lanjutkan penahanan wartawan WAFA buat kali ketiga

Bernama
Jun 24, 2024 06:00 MYT
Pada awal Jun, perisikan Israel telah memanggil Rasha Hirzallah (gambar) untuk disoal siasat di pusat tahanan di koloni haram Ariel. - Foto WAFA/BERNAMA
RAMALLAH: Mahkamah tentera pendudukan Israel di Salem pada Isnin melanjutkan untuk kali ketiga penahanan Rasha Hirzallah, seorang wartawan wanita Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA) sehingga 11 Ogos.
WAFA melaporkan bahawa Persatuan Tahanan Palestin (PPS) berkata prosiding baharu diadakan pada Isnin untuk Hirzallah di mahkamah Israel di Salem, dan penahanannya dilanjutkan sehingga 11 Ogos.
Raed Mahameed, peguam Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan, berkata bahawa mahkamah memutuskan untuk melanjutkan penahanan sehingga 11 Ogos dengan alasan untuk melengkapkan "prosedur kehakiman".
Sebelum ini satu prosiding mahkamah telah diadakan untuk Hirzallah pada 10 Jun, yang seterusnya memutuskan untuk melanjutkan penahanannya selama dua minggu.
Pada awal Jun, perisikan Israel telah memanggil Hirzallah untuk disoal siasat di pusat tahanan di koloni haram Ariel.
Hirzallah pergi ke sana bersama seorang peguam dan semasa ketibaan mereka, beliau diberitahu bahawa dia akan ditahan selama 72 jam.
-- BERNAMA
#Rasha Hirzallah #WAFA #wartawan #Palestin-Israel
;