Israel lancar serangan udara terhadap Syria

Agensi
Januari 10, 2018 10:48 MYT
Syrian Observatory for Human Rights mendakwa serangan udara itu menyasari tentera Syria dan kawasan penyimpanan senjata Hezbollah dan telah menyebabkan kebakaran dan letupan bertubi-tubi. Gambar fail
Israel pada awal pagi Selasa melancarkan serangan udara disusuli tembakan terhadap pengkalan tentera berdekatan ibu kota Syria.
Menurut tentera Syria, jet milik Israel telah melancarkan misil ke arah kawasan Qutayfeh berdekatan Damsyik menerusi laluan ruang udara milik Lubnan pada pukul 2:40 pagi waktu tempatan.
Ia menyebabkan tentera Syria membalas balik serangan yang mengena sebuah jet milik Israel.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu apabila ditanya mengenai serangan itu tidak menafikannya.
Netanyahu berkata Israel sentiasa bersedia untuk memainkan peranannya bagi menghalang sebarang senjata dari sampai ke kumpulan Hezbollah.
“Kami mempunyai polisi jangka masa panjang untuk menghalang Hezbollah dari menambah bilangan senjata mereka di kawasan Syria,” katanya kepada akhbar Times of Israel.
Laporan itu turut menyebut tentera Israel tidak akan memberi sebarang kenyataan mengenai serangan tersebut.
Sementara itu, pemerhati asal Britain, Syrian Observatory for Human Rights mendakwa serangan udara itu menyasari tentera Syria dan kawasan penyimpanan senjata Hezbollah dan telah menyebabkan kebakaran dan letupan bertubi-tubi.
Menurut kenyataan tentera Syria, rejim Israel dilaporkan turut melancarkan beberapa roket dari Golen Heights yang sempat dipintas tentera Syria.
Kerajaan Syria telah menulis surat kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) supaya badan berkuasa dunia itu mengecam serangan Israel.
Kementerian Luar Syria turut menuduh Israel bertindak melancarkan serangan kerana mahu membantu tentera pembangkang.
#Benjamin Netanyahu #Damsyik #Israel #Jet #lubnan #Qutayfeh #serangan #Syria
;