Israel lancar serangan udara di tengah Beirut
Bernama
Oktober 3, 2024 08:00 MYT
Oktober 3, 2024 08:00 MYT
BEIRUT: Pusat Kesihatan yang mempunyai kaitan dengan Hezbollah di kawasan al-Bachoura, tengah Beirut menjadi sasaran serangan udara Israel hingga mencetuskan kebakaran besar pada malam Rabu, lapor Xinhua.
Saluran TV tempatan, al-Jadeed, melaporkan bahawa asap tebal kelihatan berkepul dari bangunan itu menerusi rakaman video.
Serangan udara itu turut menyebabkan kerosakan pada rumah-rumah berhampiran serta beberapa kenderaan yang diparkir di sekitar kawasan berkenaan.
Ambulans dan pasukan pertahanan awam segera bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan usaha menyelamat.
Sebelum serangan di tengah Beirut, Israel turut melancarkan tiga serangan udara di kawasan Haret Hreik, pinggir selatan Beirut yang turut menyebabkan kebakaran, menurut laporan saluran TV yang sama.
Tentera Israel mengesahkan serangan itu dan menyatakan bahawa ia adalah serangan tepat yang menyasarkan ibu negara Lubnan.
--BERNAMA-XINHUA