Israel lancar serangan ke Semenanjung Gaza, ketegangan memuncak di Baitulmaqdis

Agensi
April 19, 2022 18:48 MYT
Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Palestin pada hari Selasa. - AP
GAZA: Pesawat pejuang Israel melancarkan serangan di Semenanjung Gaza, menyasarkan apa yang didakwa sebagai tapak pembuatan senjata milik Hamas, yang mentadbir kawasan itu.
Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Palestin pada hari Selasa.
Serangan itu berlaku selepas roket yang dilepaskan dari Semenanjung Gaza ke selatan Israel dipintas pada hari Isnin, dalam serangan pertama seumpama itu dalam beberapa bulan kebelakangan ini, ketika ketegangan yang memuncak di Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis.
Hamas mendakwa telah menggunakan 'sistem pertahanan anti-pesawat' untuk menentang serangan udara, yang tidak menyebabkan kemalangan jiwa, menurut saksi dan sumber keselamatan di Gaza.
Ketegangan yang semakin meningkat berlaku pada bulan suci umat Islam, Ramadan dan perayaan Passover Yahudi.
Hamas telah memberi amaran pada Ahad bahawa "al-Aqsa adalah milik kami sahaja" dan bersumpah untuk mempertahankan hak rakyat Palestin untuk beribadat di situ.
Jumaat lalu, sekurang-kurangnya 152 rakyat Palestin cedera dalam keganasan membabitkan polis Israel di dalam perkarangan masjid, sekaligus menimbulkan kebimbangan konflik yang semakin meruncing.
#Palestin #Gaza #Hamas #Israel #Masjid Al-Aqsa
;