Israel lancar serangan dron di Tebing Barat

Astro Awani
November 20, 2023 08:00 MYT
Rakyat Palestin berjalan di kawasan yang dimusnahkan tentera rejim Zionis Israel ketika operasi di kem pelarian Jenin. - Foto AP
TEBING BARAT: Israel kini sedang melancarkan siri serangan dron ke atas penduduk Palestin dengan lebih kerap di Kem Jenin, Tebing Barat yang padat dengan pelarian.
Penduduk di sana mengecam tindakan berkenaan dan berkata, serangan terbabit merupakan siri membalas dendam Zionis terhadap mereka yang tidak berdosa.
Dalam serbuan terbaru, serangan dron Israel ke atas kem pelarian berkenaan telah mengorbankan sekurang-kurangnya tiga rakyat Palestin.
Sekurang-kurangnya 80 kenderaan tentera Israel juga bertindak menyerbu bandar itu.
Mereka telah menyerbu rumah, menahan penduduk Palestin selain menggunakan jentolak untuk merosakkan kereta dan jalan raya.
Pasukan Tentera Israel (IDF) mendakwa serangan menyasarkan kemudahan Hamas di bawah Masjid al-Ansari di Jenin.
IDF mendakwa ia berfungsi sebagai pusat arahan kumpulan pejuang Hamas yang merancang untuk melakukan serangan terhadap Israel.
Namun tindakan berkenaan dilakukan tanpa ada bukti yang kukuh.
Seorang penduduk Jenin mendakwa, Israel juga telah menyerang masjid dengan roket hingga menyebabkan bumbungnya musnah.
Serangan berkenaan disifatkan sangat biadab dan tidak berperikemanusiaan kerana mereka telah menyerang masjid serta gereja untuk membalas dendam.
Pasukan jihad Islam Palestin dalam pada itu mengisytiharkan lanjutan operasi 'Banjir al-Aqsa' ke Jenin dan dalam usaha serangan menggunakan bahan letupan tinggi ke atas beberapa penempatan haram Israel di kawasan Tebing Barat.
Selain Gaza, Tebing Barat juga telah menyaksikan sekurang-kurangnya 200 rakyat Palestin terbunuh sejak meletusnya perang 7 Oktober lalu.
Kekerapan serangan dron, nyawa rakyat Palestin jadi mangsa
#Israel #serangan dron #Tebing Barat #Balas Dendam
;