Israel lakukan pembersihan etnik di Gaza - MSF

Astro Awani
Disember 20, 2024 09:00 MYT
Menerusi hantaran di X, Lazzarini menyifatkan Gaza sebagai perangkap maut dan medan pembunuhan. - Foto fail/REUTERS
GAZA: Badan amal perubatan Doctors Without Borders (MSF) mendakwa Israel terlibat dalam tindakan pembersihan etnik di Semenanjung Gaza.
Menerusi laporan bertajuk 'Aaza: Life in a Death Trap' yang diterbitkan pada Khamis mengenai konflik 14 bulan di wilayah berkenaan, sebanyak 41 serangan dilaporkan terhadap kakitangan MSF.
Ini termasuk serangan udara terhadap fasiliti kesihatan serta tembakan langsung ke arah konvoi kemanusiaan.
MSF juga mendedahkan bahawa mereka terpaksa memindahkan hospital dan pusat kesihatan sebanyak 17 kali sepanjang tempoh konflik itu.
Tambah MSF, terdapat tanda-tanda jelas pembersihan etnik apabila rakyat Palestin dipaksa meninggalkan kediaman mereka, terperangkap dan dibom secara berterusan.
MSF turut menyatakan sekatan terhadap wilayah Palestin itu telah mengurangkan bantuan kemanusiaan secara drastik.
Selain itu, hanya 37 trak bantuan dibenarkan masuk setiap hari pada Oktober 2024, berbanding 500 trak sebelum konflik bermula.
MSF turut mengecam sekatan terhadap pemindahan pesakit apabila Israel hanya meluluskan 1.6 peratus daripada permohonan antara Mei dan September 2024, menjadikan situasi kesihatan di Gaza semakin kritikal.
Justeru MSF menggesa gencatan senjata segera dan penamatan sekatan bagi membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan secara besar-besaran.
Dalam pada itu, laporan tersebut turut mendapat perhatian ketua Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) Philippe Lazzarini.
Menerusi hantaran di X, Lazzarini menyifatkan Gaza sebagai perangkap maut dan medan pembunuhan.
Katanya, perang itu meragut puluhan ribu nyawa, termasuk ramai kanak-kanak.
Beliau turut menyatakan bahawa ramai lagi mangsa meninggal dunia akibat kekurangan perkhidmatan kesihatan serta bekalan perubatan yang semakin merosot.
#Gaza #pembersihan etnik #Israel #MSF
;