Israel lakukan genosid di Gaza - Amnesty
Bernama
Disember 5, 2024 21:17 MYT
Disember 5, 2024 21:17 MYT
ATHENS: Israel melakukan genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza, kesimpulan yang dibuat oleh kumpulan hak asasi manusia Amnesty International dalam laporan terbarunya yang dikeluarkan pada Khamis, lapor Agensi Anadolu (AA).
"Penyelidikan Amnesty International mendapati terdapat asas kukuh untuk membuat kesimpulan yang Israel melakukan dan terus melakukan genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza," kata organisasi yang berpangkalan di UK itu dalam satu kenyataan.
Laporan terbaru Amnesty International, You Feel Like You Are Subhuman: Israel's Genocide Against Palestinians in Gaza, mendokumentasikan bagaimana, semasa serangan ketenteraan yang dilancarkan selepas serangan Hamas pada 7 Okt 2023, "Israel melepaskan 'neraka' dan kehancuran terhadap rakyat Palestin di Gaza dengan biadap, berterusan dan kebal daripada hukuman."
Sejak serangan merentasi sempadan itu, Israel membunuh lebih 44,000 orang di Gaza dan menjadikan enklaf itu kawasan runtuhan.
"Laporan Amnesty International menunjukkan yang Israel melakukan perbuatan yang dilarang di bawah Konvensyen Genosid, dengan tujuan semata-mata untuk memusnahkan rakyat Palestin di Gaza."
"Semua perbuatan ini termasuk pembunuhan, menyebabkan kecederaan fizikal atau mental yang serius, serta sengaja memaksakan keadaan hidup yang sangat buruk terhadap rakyat Palestin di Gaza yang dirancang untuk membawa kepada pemusnahan fizikal mereka."
"Bulan demi bulan, Israel memperlakukan rakyat Palestin di Gaza sebagai kumpulan yang tidak layak diiktiraf hak asasi mereka, menunjukkan niat untuk memusnahkan mereka secara fizikal," kata Setiausaha Agung Amnesty International, Agnes Callamard.
"Penemuan yang mengerikan ini harus menjadi peringatan kepada masyarakat antarabangsa: ini adalah genosid. Ia mesti dihentikan sekarang."
Amnesty International memberi amaran kepada negara yang terus membekalkan senjata kepada Israel bahawa mereka melanggar kewajipan mereka untuk menghalang genosid dan berisiko menjadi rakan subahat dalam genosid itu. Pertubuhan bukan berasaskan keuntungan itu menggesa sekutu Barat Israel, termasuk Amerika Syarikat (AS), Jerman dan negara Kesatuan Eropah (EU), untuk bertindak sekarang "bagi menghentikan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza dengan serta-merta."
"Israel berulang mendabik dada yang tindakannya di Gaza adalah sah dan boleh dibenarkan oleh matlamat ketenteraannya untuk menghapuskan Hamas. Tetapi niat genosid boleh wujud bersama dengan matlamat ketenteraan dan tidak perlu menjadi niat tunggal Israel," tambahnya.
Amnesty berkata ia mengkaji tindakan Israel di Gaza "dengan teliti dan secara menyeluruh, dengan mengambil kira pengulangan dan kejadian serentak, serta kesan segera dan kesan kumulatif serta saling memperkuatkan."
Menurut kenyataan itu, organisasi itu mengambil kira skala dan banyaknya kematian serta kemusnahan dari semasa ke semasa, dan juga menganalisis kenyataan awam oleh pegawai, mendapati tindakan yang dilarang sering diumumkan atau disarankan pada mulanya oleh pegawai tinggi yang bertanggungjawab dalam perang.
Bulan lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan dengan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas serangan ke atas Gaza.
-- BERNAMA