Israel-Hezbollah bertukar tuduhan pelanggaran gencatan
Astro Awani
November 29, 2024 08:00 MYT
November 29, 2024 08:00 MYT
BEIRUT: Tentera Israel dan Hezbollah saling menuduh melanggar gencatan senjata yang dimeterai untuk menghentikan konflik selama lebih setahun.
Tentera Israel melancarkan serangan udara ke atas kemudahan Hezbollah yang dipercayai menyimpan roket jarak sederhana di selatan Lubnan.
Menurut pihak Israel, tembakan juga dilepaskan pada Khamis ke arah individu yang dianggap sebagai "suspek" di zon selatan.
Israel menyatakan tindakan tersebut adalah respons kepada pelanggaran perjanjian gencatan senjata oleh Hezbollah, kumpulan bersenjata yang disokong Iran, yang mula berkuat kuasa pada Rabu.
Tentera Lubnan turut menuduh Israel melakukan beberapa pelanggaran gencatan senjata pada Rabu dan Khamis.
Insiden ini menyerlahkan rapuhnya gencatan senjata yang dirancang oleh Amerika Syarikat dan Perancis untuk menamatkan konflik bersamaan dengan perang di Gaza.
Perjanjian ini dijangka berlangsung selama 60 hari dengan harapan menghentikan permusuhan secara kekal.
Serangan udara Israel pada Khamis adalah yang pertama sejak gencatan senjata bermula.
Sebelum serangan udara, tembakan kereta kebal Israel telah mengenai lima bandar dan kawasan ladang di selatan Lubnan.
Media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya dua orang cedera.
Pada lewat Khamis, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengarahkan tentera bersiap sedia untuk pertempuran sengit jika gencatan senjata dilanggar.
Beliau menyatakan pihak Israel akan bertindak tegas dan memberi amaran kepada IDF agar bersiap sedia menghadapi peperangan jika perjanjian tidak dipatuhi.