Israel, Hamas setuju lebih banyak bantuan disalur ke Gaza termasuk kepada tebusan
Agensi
Januari 16, 2024 06:45 MYT
Januari 16, 2024 06:45 MYT
ISRAEL dan pasukan pejuang Palestin, Hamas telah mencapai perjanjian untuk membenarkan lebih banyak bantuan kemanusiaan di salur ke Gaza yang dilanda perang, kata Qatar.
Kedua-dua seteru itu berkata, di bawah perjanjian yang dikendalikan oleh Qatar dan Perancis, bekalan ubat-ubatan akan diberikan kepada tebusan yang ditahan oleh Hamas.
Sebagai balasan, Israel akan membenarkan lebih banyak bekalan asas dikirim ke Gaza berikutan keadaan di wilayah itu yang sangat teruk selepas lebih tiga bulan pengeboman Israel.
Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) berharap perbincangan lanjut boleh membawa kepada pembebasan lebih banyak tebusan.
Wakil AS ke Timur Tengah telah berada di Qatar untuk membincangkan kemungkinan perjanjian sedemikian, kata jurucakap keselamatan negara White House, John Kirby pada Selasa.
Perbincangan itu "sangat serius dan intensif."
"Kami berharap ia akan membuahkan hasil dan membuahkan hasil tidak lama lagi," jelas Kirby.
Sebelum ini, jurucakap kementerian luar Qatar, Majed Al Ansari mengumumkan perjanjian bantuan.
Di bawah perjanjian itu, bekalan kemanusiaan akan meninggalkan ibu kota Qatar, Doha, ke Mesir pada Rabu.
Bantuan itu kemudiannya akan dibawa ke Gaza untuk diedarkan kepada orang awam, manakala ubat-ubatan akan sampai kepada tawanan Israel.
Lebih 132 tebusan dipercayai masih ditahan di Gaza.
Pada serangan yang berlaku pada 7 Oktober 2023, Hamas didakwa menawan sekitar 240 orang, sementara sekitar 1,300 rakyat Israel, kebanyakannya orang awam, terbunuh.
Dalam surat yang dihantar kepada Kabinet Perang Israel selepas gencatan senjata berakhir tahun lalu, kumpulan keluarga tebusan berkata, ramai mangsa culik memerlukan rawatan perubatan secara berkala, dan ada dalam kalangan mereka yang berada dalam keadaan kritikal.
Minggu lepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, Ketua Agensi Perisikan Mossad, David Barnea telah berhubung dengan Qatar untuk mendapatkan perjanjian bagi menyediakan ubat-ubatan yang diperlukan.
Pada Selasa pula, Netanyahu mengeluarkan kenyataan yang menyatakan "penghargaan beliau kepada semua pihak yang telah membantu dalam usaha itu." - Agensi