Israel, Hamas lemahkan harapan perjanjian gencatan senjata di Gaza
Agensi
April 8, 2024 06:00 MYT
April 8, 2024 06:00 MYT
SEMENANJUNG GAZA : Dua pihak yang bertelagah di Palestin - Israel dan Hamas memudarkan dan melemahkan harapan bagi mencapai kejayaan dalam Rundingan Kaherah ke arah pelaksanaan gencatan senjata di Gaza.
Demikian juga dengan perjanjian pembebasan tebusan Israel oleh Hamas dan rakyat Palestin yang dipenjara oleh Israel juga tidak mencapai ‘kemajuan yang ketara’ lapor media berkaitan kerajaan Mesir.
Ketika perang di Gaza berpanjangan dan memasuki bulan ketujuh, Israel terus berada di bawah tekanan antarabangsa yang semakin meningkat untuk bersetuju dengan gencatan senjata, termasuk daripada sekutu utamanya dan pembekal senjata Amerika Syarikat (AS).
Pada Ahad lalu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan, setengah tahun selepas serangan yag tercetus pada 7 Oktober lalu, bahawa Israel "selangkah lagi daripada kemenangan" dan telah berikrar untuk mengalahkan pejuang Hamas yang masih tinggal di bandar Rafah di selatan Gaza.
Pada hari sama, tentera Zionis mengumumkan telah menarik pasukannya keluar dari selatan Gaza, walaupun komander tentera menegaskan pengunduran itu adalah taktikal dan tidak menandakan perang berakhir.
Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant pula berkata, tentera akan "bersedia untuk misi masa depan, termasuk di Rafah, berdekatan sempadan Mesir dengan hampir 1.5 juta penduduk Gaza tinggal di tempat perlindungan dan khemah yang sesak.
Jurucakap kerajaan Israel, Avi Hyman berkata: "Saya tidak akan membaca terlalu banyak fakta bahawa kami telah memindahkan askar masuk atau keluar dari mana-mana. Saya akan mengingatkan semua orang bahawa kami tinggal di sebuah negara kecil yang kecil, kami boleh memindahkan tentera masuk atau keluar dengan mudah dan sangat cepat."
Saksi memberitahu AFP bahawa lebih banyak serangan udara dan tembakan artileri Israel melanda tengah Gaza, termasuk berhampiran bandar Gaza dan di Deir al-Balah serta di Rafah di selatan.
Di tengah-tengah ancaman dan pertempuran yang berterusan, Netanyahu telah menghantar wakil ke rundingan gencatan senjata baru yang bermula di Kaherah pada Ahad, disertai oleh negara pengantara iaitu AS, Qatar dan Mesir.
Presiden AS, Joe Biden menghantar ketua CIA Bill Burns ke rundingan itu, tiga hari selepas beliau menghubungi Netanyahu melalui panggilam telefon yang ringkas.
Dalam perbualan itu, Biden menuntut dihentikan pertempuran dan langkah lebih besar perlu diamil untuk membantu dan melindungi orang awam Gaza.
Akhbar berkaitan kerajaan Mesir, Al-Qahera melaporkan "kemajuan ketara dicapai dalam beberapa perkara perjanjian yang dipertikaikan", memetik sumber berpangkat tinggi Mesir yang tidak dinamakan.
Delegasi Qatar dan Hamas telah meninggalkan Kaherah dan dijangka pulang "dalam masa dua hari untuk memuktamadkan syarat perjanjian", katanya, manakala pasukan AS dan Israel juga merancang 48 jam perundingan.
Bagaimanapun, saluran berita Ynet Israel memetik seorang pegawai Israel yang tidak dikenali sebagai meredakan laporan Mesir yang optimis dan menegaskan perjanjian berkenaan masih belum mencapai apa-apa keputusan positif.
“Masih jauh lagi perjalanan dan tiada apa-apa yang dramatik buat masa ini,” kata pegawai Israel itu.
Seorang lagi pegawai kanan Israel berkata: "Kesabaran sangat dituntut, ada potensi, tetapi kami belum mencapainya lagi."
Sementara itu, seorang pegawai kanan Hamas memberitahu AFP bahawa "kami tidak boleh bercakap tentang kemajuan konkrit setakat ini" dengan perselisihan faham tertumpu pada usaha membawa pulang pelarian Palestin kembali ke kota Gaza di utara.
Perang yang bermula pada 7 Oktober lalu ke atas Israel oleh Hamas mengakibatkan kematian 1,170 orang.
Pasukan pejuang Palestin itu turut menawan lebih daripada 250 tebusan Israel dan asing dengan 129 daripadanya kekal di Gaza, sementara 34 lagi didakwa sudah meninggal dunia.
Israel yang tidak berdiam diri telah membunuh sekurang-kurangnya 33,207 orang dengan rakusnya di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di wilayah kendalian Hamas.
Kepungan Israe menyebabkan rakyat Gaza kehilangan sebahagian besar bekalan air, makanan dan bekalan asas lain.
Kawasan Gaza yang luas telah bertukar menjadi tanah terbiar bertaburan runtuhan, dengan kerosakan infrastruktur, kebanyakannya perumahan, dianggarkan berjumlah AS$18.5 bilion, kata laporan Bank Dunia.
Pada hari Ahad lepas, selepas tentera Israel mengumumkan pengunduran mereka dari Khan Younis, penduduk Palestin kembali ke tanah merkea dan terkejut dengan tahap kemusnahan.
"Kami tidak mempunyai bandar lagi - hanya runtuhan," kata Maha Thaer, ibu kepada empat anak, sambil berjalan di antara serpihan runtuhan.
"Tiada apa-apa yang tinggal. Saya tidak dapat menahan diri saya daripada menangis ketika berjalan," kata lelaki berusia 38 tahun itu yang sebahagian rumahnya musnah.
Thaer berkata, dia akan tetap berpindah semula ke pangsapurinya yang rosak teruk kerana walaupun " tidak sesuai untuk didiami, namun, ia lebih baik daripada khemah." - AFP