Israel guna undang-undang sendiri rampas tanah ibu pejabat agensi PBB

Bernama
Oktober 16, 2024 14:00 MYT
PLO berkata campur tangan Israel dalam operasi UNRWA menimbulkan risiko besar kepada pelarian Palestin.
RAMALLAH: Jabatan Hal Ehwal Pelarian Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) menyeru Jawatankuasa Penasihat Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) agar mengadakan mesyuarat kecemasan sebelum cuti musim panas Knesset Israel berakhir pada 27 Okt.
Permintaan untuk mesyuarat itu dibuat bagi menangani langkah perundangan terkini Israel yang menyasarkan agensi PBB itu, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Gesaan jabatan itu susulan keputusan Israel untuk merampas tanah yang menempatkan ibu pejabat UNRWA, yang terletak di kawasan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis yang diduduki, dengan niat untuk mengubahnya menjadi pos penjajah.
Mesyuarat itu juga dijangka memberi tumpuan kepada implikasi yang lebih luas daripada langkah ini dan meneroka usaha lain untuk menentang tindakan itu.
Dalam memorandum yang dihantar kepada Pengerusi dan ahli Jawatankuasa Penasihat, PLO menggesa campur tangan segera dan pendirian tegas terhadap undang-undang Israel yang bertujuan untuk membongkar UNRWA atau melemahkan mandatnya.
Agensi itu memainkan peranan penting dalam melindungi hak pelarian Palestin, dengan mandat yang kekal sehingga penyelesaian politik, mengikut Resolusi 194, tercapai.
PLO menambah bahawa campur tangan Israel dalam operasi UNRWA menimbulkan risiko besar kepada pelarian Palestin, terutamanya mengancam perkhidmatan penting di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis yang diduduki.
-- BERNAMA
#Israel #UNRWA #PBB #rampas tanah
;