Israel guna helikopter tentera serang Rafah
Astro Awani
Mei 30, 2024 08:00 MYT
Mei 30, 2024 08:00 MYT
ISRAEL SELATAN: Israel tanpa henti melanggar arahan antarabangsa, dan tidak mengendahkan gesaan dunia.
Serangan terbaharu menyaksikan sebuah helikopter Israel melepaskan tembakan ke atas Rafah, sebuah kawasan pelarian terpadat di dunia.
Serangan terbaharu ini turut menyebabkan kepulan asap gelap memenuhi kawasan itu.
Sebelum ini, Israel menghantar kereta kebal dalam serbuan ke Rafah pada Rabu dan meramalkan perang dan pembunuhan beramai-ramainya ke atas rakyat Palestin di Gaza akan berterusan sepanjang tahun.
Washington bagaimanapun berkata serangan Rafah tidak melibatkan operasi darat besar-besaran yang akan mencetuskan perubahan dasar mereka.
Kereta kebal Israel dilihat bergerak ke tengah-tengah Rafah buat pertama kali pada Selasa.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah pun mengeluarkan perintah untuk menamatkan serangannya ke atas bandar itu, di mana ramai rakyat Palestin telah berlindung daripada pengeboman di tempat lain.
Mahkamah dunia berkata Israel tidak menjelaskan bagaimana ia akan memastikan mangsa yang dipindahkan dari Rafah selamat dan menyediakan makanan, air dan ubat-ubatan.