Israel dijangka lancar operasi ke kem pelarian, susulan pengharaman UNRWA - MAHAR
Irfan Faruqi
Oktober 31, 2024 04:40 MYT
Oktober 31, 2024 04:40 MYT
KUALA LUMPUR: Israel dijangka melancarkan operasi ketenteraan ke atas kem-kem pelarian yang diuruskan oleh Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin (UNRWA), selepas badan dunia itu dinyahkan daripada bumi Palestin.
Ringkasan AI
- Israel dijangka melancarkan operasi ketenteraan ke atas kem-kem pelarian yang diuruskan oleh UNRWA selepas pengharaman pertubuhan itu.
- RUU pengharaman UNRWA bertujuan memastikan Israel tidak dipertanggungjawabkan atas sebarang kezaliman di fasiliti PBB.
- Kem pelarian UNRWA menyediakan pendidikan, perlindungan, dan perkhidmatan kemanusiaan kepada kira-kira 1.7 juta penduduk Palestin.
Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Jismi Johari berkata rang undang-undang (RUU) yang diluluskan bagi mengharamkan pertubuhan berkenaan adalah bagi memastikan Israel tidak dipertanggungjawabkan ke atas sebarang kezaliman yang bakal berlaku kelak di fasiliti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu.
“Pada pandangan saya, (RUU pengharaman UNRWA) ini antara usaha Israel selain daripada memburukkan UNRWA sebelum ini, mereka berkemungkinan akan melancarkan operasi besar-besaran ke atas fasiliti UNRWA yang menjadi tempat perlindungan ramai orang.
“Seterusnya, Israel cuba untuk elak daripada dipertanggungjawabkan atas operasi tersebut memandangkan ia bukan lagi fasiliti yang diurus oleh PBB,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Israel dijangka lancarkan operasi ke kem pelarian, susulan pengharaman UNRWA - MAHAR
Jismi menjelaskan, kem-kem pelarian yang dimaksudkan tidak didirikan dengan menggunakan khemah seperti tanggapan umum, sebaliknya ia sudah didiami sejak kekejaman Israel mengganas berdekad lamanya.
Menurutnya, dalam konteks Gaza, kem-kem pelarian ini memberikan pendidikan kepada anak-anak Palestin, perlindungan dan perkhidmatan kemanusiaan kepada kira-kira 1.7 juta penduduk.
“Kita perlu faham kem pelarian yang dimaksudkan, contohnya di Sabra dan Shatila di Lubnan dan kem pelarian di Yarmouk, Jordan, kem-kem ini bukan lagi dalam bentuk kem kanvas.
“Setelah berpuluh tahun, kem ini dibina dengan perumahan dan tanah kem tersebut diserahkan kepada UNRWA untuk menguruskan pelarian. Mungkin sudah ada tiga generasi yang tinggal di kem-kem ini.
“Inilah yang kita maksudkan apabila kita rujuk kepada kem-kem ini.
"Bahkan, beach camp di Gaza yang pernah didiami oleh al-syahid Ismail Haniyeh, juga dianggap sebagai sebuah kampung, meskipun hakikatnya ia merupakan salah satu daripada kem UNRWA,” tambahnya.
Pada Isnin, Israel meluluskan RUU mengharamkan operasi UNRWA di Baitulmaqdis Timur yang diduduki, serta menarik balik keistimewaan dan kekebalan agensi itu.
Undian itu menyaksikan 92 daripada 120 anggota Knesset menyokong larangan itu, manakala 10 menentang.
Dalam pada itu, satu RUU berasingan yang diluluskan dengan 87 undi menyokong dan sembilan menentang, mewajibkan Israel untuk memutuskan semua hubungan dengan UNRWA, menghalang sebarang kerjasama atau keistimewaan yang sebelum ini diberikan kepada agensi itu.
Undang-undang berkenaan akan berkuat kuasa dalam tempoh 90 hari, menurut Agensi Anadolu.
Dialog Tiga Penjuru: Pengharaman UNRWA, zionis putuskan ‘talian hayat’ Gaza