Israel dakwa wujud kemajuan perbicangan genjatan senjata di Lubnan
Astro Awani
November 12, 2024 09:30 MYT
November 12, 2024 09:30 MYT
TEL AVIV: Israel mendakwa wujud kemajuan dalam perbincangan mengenai gencatan senjata di Lubnan yang mana Rusia mungkin memainkan peranan menghentikan Hezbollah daripada membekalkan senjata melalui Syria.
Kenyataan ini dikeluarkan meskipun pejuang Hezbollah yang disokong Iran itu memaklumkan belum menerima sebarang cadangan gencatan senjata baharu.
Hezbollah berkata hubungan diplomatik sedang dijalankan melibatkan penyokongnya di Tehran, Washington dan Moscow, mengulangi kesediaan mereka untuk terus meneruskan konflik dan menegaskan mempunyai senjata yang cukup.
Di Jerusalem, Menteri Luar Israel Gideon Saar mendakwa perang melawan Hezbollah belum berakhir dan cabaran utama dalam sebarang perjanjian gencatan senjata adalah pelaksanaan, walaupun ada "kemajuan tertentu" dalam perbincangan.
Tambah Saar, dalam satu sidang media di Jerusalem, Israel sedang bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) mengenai gencatan senjata dan mahu Hezbollah yang berada di utara sungai Litani, tidak dapat membekalkan semula senjata.
Tegasnya lagi, prinsip asas untuk sebarang perjanjian adalah Hezbollah tidak boleh membawa senjata ke Lubnan dari Syria dan ini penting untuk kejayaan sebarang perjanjian di Lubnan.
"Dan Rusia, seperti yang anda tahu, berada di Syria. Jika mereka bersetuju dengan prinsip ini, saya rasa mereka boleh menyumbang secara berkesan kepada objektif ini," katanya.
Selepas beberapa pusingan diplomasi diketuai AS yang tidak berhasil untuk memastikan kejayaan gencatan senjata di Lubnan, komen tersebut menunjukkan fokus terhadap isu ini ketika Presiden Joe Biden bersedia untuk meninggalkan jawatannya pada Januari, dengan Presiden terpilih Donald Trump dijadualkan menggantikannya.
Konflik di sempadan Lubnan-Israel telah berlarutan selama setahun sebelum Israel melancarkan serangan besar-besaran pada akhir September, mengebom kawasan luas di Lubnan dalam satu serangan udara dan menghantar tentera ke selatan.