Israel dakwa sudah penuhi kebanyakan tuntutan AS di Gaza

Astro Awani
November 13, 2024 08:15 MYT
Antara tuntutan AS yang enggan dipenuhi oleh Israel adalah membenarkan kemasukan 50 hingga 100 trak komersial sehari. - Foto fail/REUTERS
ISRAEL mendakwa sudah memenuhi kebanyakan tuntutan Amerika Syarikat (AS) untuk meningkatkan kemasukan bantuan kemanusiaan di Gaza.
Bagaimanapun, beberapa isu masih dalam perbincangan, di sebalik menjelang tarikh akhir yang semakin hampir untuk memperbaiki keadaan atau bakal berdepan sekatan bantuan ketenteraan AS.
Pegawai Israel mendakwa, terdapat beberapa perkara yang masih dalam perbincangan dan ia berkaitan dengan isu keselamatan.
Antara tuntutan AS yang enggan dipenuhi oleh Israel adalah membenarkan kemasukan 50 hingga 100 trak komersial sehari.
Pegawai itu mendakwa, aktiviti komersial dihentikan kerana Hamas mengawal peniaga.
Dakwa pegawai tersebut, sekatan kemasukan kontena tertutup juga tidak akan ditarik balik kerana risiko keselamatan.
Menerusi surat bertarikh 13 Oktober lalu, Washington menggesa sekutunya, Israel, untuk mengambil langkah memperbaiki keadaan bantuan kemanusiaan dalam tempoh 30 hari.
Minggu lepas, Jabatan Negara AS mendakwa Israel sudah mengambil langkah meningkatkan akses bantuan ke Gaza, tetapi masih gagal untuk memperbaiki keadaan kemanusiaan di wilayah itu.
Menteri Luar Israel, Gideon Saar mendakwa sudah bertemu dengan duta besar AS dan yakin persefahaman dengan rakan sekutu boleh dicapai dalam menyelesaikan isu itu.
Sebelum ini, sebuah jawatankuasa pakar keselamatan makanan global memberi amaran kemungkinan kebuluran akan berlaku di kawasan tertentu di utara Gaza.
Namun, dakwaan itu ditolak sekeras-kerasnya oleh Israel.
Pegawai Israel mendakwa, pihaknya menambah pintu masuk ke Gaza, memperluas zon kemanusiaan, meningkatkan keselamatan untuk kenderaan bantuan dan mengendalikan pasukan petugas bersama masyarakat antarabangsa, sebagai sebahagian daripada langkah memperbaiki keadaan kemanusiaan.
#Israel #Gaza #bantuan kemanusiaan #isu keselamatan
;