Israel dakwa mula gempur beberapa kawasan di Gaza Tengah

Astro Awani
Disember 27, 2023 07:40 MYT
Rakyat Palestin melarikan diri susulan operasi darat dilakukan tentera rejim Zionis Israel di Khan Younis. - Foto AP
TEL AVIV: Tentera Pertahanan Israel (IDF) pada Rabu mendakwa mereka sudah mula menyerang beberapa kawasan di Gaza, khususnya di sekitar Al Bureij dan Khan Younis.
Jurucakapnya Daniel Hagari berkata, dua kawasan itu dipilih sebagai medan serangan terbaharu susulan ia disifatkan sebagai pangkalan utama untuk kumpulan pejuang Hamas.
Katanya tentera Israel menggempur tengah Gaza melalui darat, laut dan udara.
"Di selatan, kami lakukan operasi di beberapa kawasan di Gaza. Satu dipanggil Al Bureij, ia adalah kawasan di pusat kem pelarian.
Di sana kami berada pada hari ketiga serangan, kami membunuh ramai pengganas dan memusnahkan infrastruktur keganasan.
"Yang kedua ialah Khan Younis di jalur selatan, pangkalan pengganas pusat untuk Hamas. Di sana, kami telah mengembangkan aktiviti kami dan hari ini kami menambah satu lagi briged dan kami terus bertindak di sana dengan menggunakan taktik ketenteraan baharu di atas tanah dan di bawahnya," katanya.
Pihak berkuasa Palestin juga sudah melaporkan puluhan lagi kematian terbaharu sejak Selasa sementara ribuan lagi individu cuba melarikan diri daripada pertempuran.
Sementara itu, tentera Israel pada Rabu melaporkan tiga lagi askar terbunuh dalam serangan di Gaza, menjadikan jumlah kematian tentera di wilayah itu sejak operasi darat bermula kepada 166 orang.
#Israel #Gaza #Hamas #Daniel Hagari
;