Israel dakwa akan terus kawal keselamatan Gaza

Astro Awani
Disember 25, 2024 07:20 MYT
Katz berkata, IDF akan bertindak dengan apa cara sekalipun untuk menghapuskan sebarang cubaan yang berpotensi mengancam negara itu atau anggotanya. - Foto fail/REUTERS
GAZA: Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mendakwa akan terus mengawal keselamatan Gaza dengan mewujudkan zon penampan dan pos kawalan di wilayah itu.
Menurut Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, IDF akan bertindak dengan apa cara sekalipun untuk menghapuskan sebarang cubaan yang berpotensi mengancam negara itu atau anggotanya.
"Sudah jelas, apa yang kita saksikan di kawasan terowong yang menembusi ini, apa yang kita lihat di kawasan ancaman, serta perang yang berjaya menghapuskan keupayaan (Hamas) ini.
"Persoalannya kini, bagaimana kita memastikan perkara ini tidak berulang? Bagaimana kita memastikan kawalan keselamatan terus berada di tangan IDF, yang akan diberi kuasa untuk bertindak di mana-mana bagi mencegah ancaman.
"Kita akan memastikan di Gaza, seperti di Lubnan, Syria, dan di Timur, tiada lagi ancaman yang boleh diwujudkan terhadap komuniti Israel, rakyatnya dan anggota IDF," katanya.
Untuk rekod, rundingan gencatan senjata antara wakil Israel di Qatar selesai pada Selasa malam.
Kesemua mereka dilaporkan kembali ke Israel untuk perbincangan lanjut mengenai perjanjian pertukaran tebusan.
Amerika Syarikat bersama dengan perantara Arab, Qatar dan Mesir dalam pada itu, terus meningkatkan usaha dalam tempoh dua minggu terakhir untuk melaksanakan perjanjian itu secara berperingkat.
#IDF #Israel #Gaza #Hamas
;