Israel cuba masuk kawasan Masjid Al-Aqsa
Agensi
Februari 27, 2014 13:22 MYT
Februari 27, 2014 13:22 MYT
Jordan memberi amaran sedia mengkaji semula perjanjian damai dengan Israel yang dimeterai pada 1994 selepas parlimen Israel mula membahaskan usul membenarkan upacara ibadat Yahudi dijalankan di kawasan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis.
"Sekiranya Israel mahu mencabul perjanjian damai dalam isu ini, seluruh perjanjian termasuk syarat-syarat dan butirannya perlu dirundingkan semula," kata Perdana Menteri Jordan, Abdullah Nsur dalam satu wawancara dengan akhbar Al-Watan di Qatar.
Di bawah perjanjian tersebut, Jordan diberi hak sebagai penjaga masjid suci umat Islam itu.
Kenyataan Abdullah itu dibuat menyusul keputusan parlimen Jordan meluluskan usul mendesak duta Israel ke negara itu, Daniel Nevo supaya diusir keluar.
"Cubaan Israel itu boleh membawa kepada pencabulan perjanjian antarabangsa ketika mana masyarakat dunia berusaha mencari perdamaian antara Israel dan Palestin," kata jurucakap kerajaan Jordan, Mohammad Momnai kepada agensi berita Petra.
"Hak penjagaan Jordan ini bukan satu keistimewaan yang diberikan oleh Israel. Ia adalah tanggungjawab dalam sejarah Bani Hashim yang ditegaskan melalui perjanjian damai itu."
Tahun lalu, raja Jordan, Raja Abdullah II dan Presiden Mahmud Abbas menandatangani perjanjian mengesahkan perjanjian mulut yang dibuat pada 1924 yang memberikan hak penjagaan ke atas masjid suci itu kepada Jordan.
Parlimen Jordan meluluskan usul mengusir duta Israel itu selepas usul berkenaan dipersetujui oleh 47 ahli parlimen yang mendesak perjanjian damai dengan Israel dibatalkan.
"Semua wakil rakyat yang menghadiri sidang (pada Rabu) bagi membincangkan perbahasan di Israel mengenai hak kedaulatan ke atas Al-Aqsa mengundi untuk mengusir duta Israel dan memanggil pulang duta Jordan di Israel (Walid Obeidat," kata ahli parlimen Khalil Attieh kepada AFP.
Kementerian Luar Israel enggan mengulas usul yang diluluskan oleh parlimen Jordan itu.
Knesset pada Selasa mula membahas usul yang dibentangkan oleh golongan haluan kanan yang mendesak Israel menghentikan amalan melarang upacara keagamaan Yahudi di dalam kawasan Masjid Al-Aqsa.
Dalam usul yang tidak dikemukakan untuk undia, ahli Parlimen Moshe Feiglin daripada Parti Likud pimpinan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata kebimbangan Israel kebenaran itu akan membangkitkan kemarahan umat Islam adalah satu diskriminasi terhadap orang Yahudi.
Polis Israel pada Selasa bertempur dengan penunjuk perasaan Palestin yang bersenjatakan batu di kawasan itu sebelum perbahasan di Knesset bermula.
Kawasan Masjid Al-Aqsa yang terletak dalam daerah Kota Lama Baitulmaqdis yang dirampas oleh Israel adalah titik panas yang mempunyai kepentingan kepada umat Islam dan Yahudi, dan merupakan masjid suci ketiga selepas Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabi di Madinah.
Ia juga merupakan tapak suci agama Yahudi yang pernah menempatkan kuil Yahudi yang pertama dan kedua.
Sementara itu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Rabu mengutuk perbahasan di parlimen Israel itu sebagai "perkembangan yang merbahaya".
Setiausaha Agung OIC, Iyad Madani menyifatkan langkah itu sebagai sebahagian daripada dasar perkauman Israel untuk mengyahudikan Baitulmaqdis dan ia boleh mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.