Israel cadang ambil tindakan undang-undang terhadap Macron

Astro Awani
Oktober 21, 2024 08:15 MYT
Keputusan Macron itu merupakan insiden terbaharu yang dicetuskan Perancis susulan kebimbangan terhadap tindakan Israel dalam peperangan di Gaza dan Lubnan. - Foto fail/REUTERS
TEL AVIV: Israel akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Presiden Perancis, Emmanuel Macron susulan keputusan beliau untuk tidak membenarkan delegasi Israel menyertai pertunjukan pertahanan EURONAVAL di Perancis bulan depan.
Menteri Luar Israel, Yisrael Katz menerusi satu hantaran di X berkata, beliau telah mengarahkan prosiding undang-undang terhadap Macron.
Katanya lagi, tindakan Perancis adalah langkah yang tidak demokratik dan tidak dapat diterima antara negara-negara sahabat.
Justeru beliau menyeru Macron untuk membatalkan keputusan itu secara muktamad.
Beliau turut mendakwa, Israel antara yang berada di barisan hadapan dalam memerangi radikalisme.
Katz berkata Perancis bersama seluruh dunia barat patut berdiri bersama Israel dan bukan sebaliknya.
Keputusan Macron itu merupakan insiden terbaharu yang dicetuskan Perancis susulan kebimbangan terhadap tindakan Israel dalam peperangan di Gaza dan Lubnan.
Media sebelum ini melaporkan, delegasi Israel yang mengambil bahagian dalam pameran pertahanan EURONAVAL yang akan diadakan di Perancis bulan depan tidak dibenarkan untuk membuka sebarang reruai atau mempamerkan peralatan ketenteraan.
EURONAVAL merupakan acara dwitahunan yang menarik penyertaan pameran pertahanan tentera laut dari seluruh dunia.
Dilaporkan tujuh syarikat Israel terkesan dengan keputusan Macron.
Ini merupakan kali kedua Perancis bertindak tegas terhadap Israel.
Mei lalu, kehadiran pembekal peralatan ketenteraan Osrael di pameran EUROSATORY, iaitu pameran pertahanan darat dan keselamatan, turut diharamkan kerajaan Macron sebelum akhirnya dibenarkan mahkamah Perancis.
#tindakan undang-undang #Emmanuel Macron #EURONAVAL #Yisrael Katz
;