Israel bunuh wartawan Palestin untuk hapuskan kebenaran
Sinar Harian
Februari 16, 2024 12:15 MYT
Februari 16, 2024 12:15 MYT
MELAKA: Kekejaman yang dilakukan rejim zionis bukan sahaja membunuh kanak-kanak dan wanita malah wartawan turut menjadi mangsa mereka.
Pengerusi Kesatuan Ulamak Palestin Di Asia Tenggara, Syeikh Dr Aahid Abu Ata berkata, malah sehingga kini dilaporkan kira-kira 130 wartawan dan pengamal media telah dibunuh dalam tempoh empat bulan Palestin diserang.
Menurutnya, tindakan mereka untuk menghapuskan segala kebenaran yang dilaporkan dan disiarkan media termasuk media AL-Jazeera segala keganasan dan penindasan yang dilakukan rejim Zionis.
"Mereka bunuh individu yang membela dan membawa berita yang benar terhadap negara Palestin dan apa yang sebenarnya berlaku di negara itu.
"130 hari telah berlalu sehingga hari ini rejim haram Zionis telah membunuh lebih 25,000 rakyat Palestin setiap hari hinggakan yang mati syahid di bawah runtuhan bangunan masih belum dapat dikeluarkan mayat mereka," katanya.
Aahid Abu Ata berkata demikian ketika Program Solidariti Palestin Sempena Sambutan Minggu Al Quds Sedunia, di Masjid Cina Krubong, di sini, pada malam Khamis.
Hadir sama, Penasihat Agama Timbalan Perdana Menteri Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin dan Pengerusi Lembaga Pengarah Tower Bridge For Consultant And Training United Kingdom Datuk Ahmad Amir Ali.
Tambahnya, rakyat Palestin terutama kanak-kanak di kawasan utara juga menjadikan daun-daun pokok sebagai makanan selain makanan untuk haiwan ternakan terpaksa diproses menjadi makanan demi meneruskan kehidupan.
Sementara itu Rais berkata, sokongan dan solidariti seperti ini perlu diteruskan tanda kepedulian kita terhadap saudara ikhwan di sana yang masih menjadi mangsa rejim Zionis.
"Salah satu usaha kita menunjukkan kebersamaan dengan bersolidariti dengan rakyat Palestin dan ini menunjukkan kesungguhan membela nasib saudara kita," katanya.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#kekejaman israel
#bunuh kanak-kanak
#warga Palestin
#Kesatuan Ulamak Palestin Di Asia Tenggara
#wartawan dibunuh
#perang Palestin Israel