Israel bunuh komander pergerakan Hezbollah

Astro Awani
Januari 9, 2024 09:10 MYT
Wissam Hassan mempunyai peranan utama dalam menguruskan operasi Hezbollah di selatan Gaza. - Foto X/@SH_NasrallahEng
BEIRUT: Perang antara Israel-Hamas semakin memuncak apabila rejim Zionis dilaporkan membunuh seorang komander tertinggi pergerakan Hezbollah Lubnan dalam satu pertempuran pada Isnin.
Komander berkenaan dikenali sebagai Wissam Hassan Tawil.
Sumber keselamatan di Lubnan yang enggan namanya disiarkan atas faktor keselamatan berkata, Wissam Hassan mempunyai peranan utama dalam menguruskan operasi Hezbollah di selatan Gaza.
Kata sumber tersebut, pemimpin itu terbunuh apabila Israel menyasarkan kenderaan yang dinaikinya.
Ini merupakan pembunuhan berprofil tinggi kedua di Lubnan sejak minggu lalu, apabila serangan di kubu kuat Beirut Hezbollah membunuh timbalan pemimpin Hamas, Saleh al-Arouri.
Seorang pegawai Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) memberitahu, Israel melakukan serangan itu yang menyumbang kepada peningkatan konflik.
Malah, tentera rejim Zionis itu dikatakan menyerang sasaran di Semenanjung Gaza.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas berkata, pihaknya merekodkan 249 kematian dalam tempoh 24 jam dan berpuluh-puluh mayat tiba bersama 99 yang cedera di Hospital Al-Aqsa di bandar Deir al-Balah di tengah Gaza.
Malah, tiga bulan selepas pertempuran dengan pejuang Hamas, Israel berkata, tumpuannya kini beralih dari utara Gaza kepada kawasan tengah dan selatan wilayah Palestin.
Ketika pertempuran di Gaza, keadaan di utara Israel juga menyebabkan kebimbangan serantau dan global yang semakin meningkat.
Briged al-Quds, sayap bersenjata jihad Islam yang berjuang bersama Hamas melaporkan pertempuran sengit melibatkan mesingan dan bom tangan roket dikenakan terhadap tentera Israel di utara, timur dan tengah bandar Khan Younis di selatan Gaza.
Imej yang disiarkan secara langsung menunjukkan asap hitam berkepul di kawasan tengah dan selatan dan terdapat bunyi letupan.
Tentera Israel sebelum ini melaporkan bahawa tentera dan pesawat perang mereka menyerang 30 sasaran pejuang Hamas di Khan Younis.
Ini termasuk sasaran bawah tanah dan kemudahan senjata.
#Wissam Hassan Tawil #Hezbollah #Israel #Hamas
;