Israel bunuh 50 rakyat Palestin dalam tempoh 24 jam lalu

Astro Awani
Ogos 22, 2024 08:40 MYT
Tentera rejim Zionis Israel dalam kereta kebal di sempadan Israel-Gaza. - Foto AP
KAHERAH: Serangan udara Israel di seluruh Gaza membunuh sekurang-kurangnya 50 rakyat Palestin dalam tempoh 24 jam lalu.
Serangan kejam itu berlaku selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken menamatkan lawatan terbarunya ke rantau itu di sebalik perjanjian gencatan senjata masih menemui jalan buntu.
Tentera Israel berkata, jet miliknya menyerang sekitar 30 sasaran di seluruh Semenanjung Gaza termasuk terowong, tapak pelancaran dan pos pemerhatian.
Zionis mendakwa, tenteranya membunuh berpuluh-puluh pejuang Hamas dan merampas senjata termasuk bahan letupan, bom tangan dan senapang automatik.
Kemudian tentera Israel menyerang sebuah sekolah dan rumah berdekatan di bandar Gaza, membunuh sekurang-kurangnya empat orang dan mencederakan 15 yang lain termasuk beberapa kanak-kanak.
Tentera Israel mendakwa, ia telah menyerang pejuang Hamas beroperasi di pusat arahan di dalam kawasan yang sebelum ini berfungsi sebagai sekolah.
Ia menuduh Hamas beroperasi di kemudahan dan kawasan awam, namun Hamas menafikannya.
Mengulas mengenai serangan ke atas sekolah yang dikendalikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ketua Agensi Pelarian Palestin PBB, Philippe Lazzarini, berkata, kanak-kanak dilaporkan terbunuh dan cedera malah ada yang terbakar sehingga mati.
Tambahnya, Gaza kini bukan tempat untuk kanak-kanak lagi kerana mereka adalah mangsa pertama perang tanpa belas kasihan.
Di bandar Bani Suhaila berhampiran Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza, serangan udara Israel membunuh tujuh rakyat Palestin yang berlindung di khemah pelarian.
Tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan baharu di kawasan Deir Al-Balah yang sesak di mana ratusan ribu rakyat Palestin sedang mencari perlindungan.
Rundingan Blinken dengan pemimpin pengantara gencatan senjata iaitu Mesir dan Qatar tertumpu pada nasib Gaza yang terus dirundung malang, apabila kempen ketenteraan Israel telah membunuh lebih daripada 40,000 orang sejak Oktober tahun lalu.
#Israel #serangan #Gaza #bunuh