TEL AVIV: Israel memberi amaran akan menggunakan "semua cara" yang ada padanya untuk menyerang kumpulan pejuang Lubnan, Hezbollah di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat tentang serangan darat ke atas Lubnan.

“Fasa seterusnya dalam perang menentang Hezbollah akan bermula tidak lama lagi,” kata Menteri Pertahanan Israel, Yoavi Gallant pada mesyuarat ketua majlis tempatan di utara Israel pada hari Isnin.

Gallant juga memaklumkan, beliau telah melawat pasukan pertahanan Israel dan bertemu dengan komander tentera di sempadan dengan Lubnan.

“Mereka bersedia, mereka kuat, dan mereka bekerjasama rapat,” katanya mengenai pasukan tersebut.

Dedah beliau lagi, peringkat perang seterusnya akan menyokong tujuan mengembalikan semula warga Israel yang telah melarikan diri dari serangan Hezbollah selama hampir setahun peperangan di sempadan.

Terdahulu, Gallant memberitahu tentera bahawa Israel akan "menggunakan semua cara yang mungkin diperlukan ... dari udara, dari laut dan di darat."

Hezbollah memulakan serangan berintensiti rendah ke atas sasaran Israel sehari selepas Israel melancarkan serangannya ke atas Gaza Oktober lalu sebagai tindak balas terhadap serangan kumpulan Palestin, Hamas.

Sejak itu, Israel dan Hezbollah saling berbalas tembakan hampir setiap hari di sepanjang sempadan Israel-Lubnan menyebabkan puluhan ribu orang di kedua-dua pihak meninggalkan rumah mereka.

Beberapa pasukan tentera Israel telah menjalankan operasi darat berskala kecil di Lubnan, lapor beberapa media antarabangsa selain tentera udara Israel mengebom sasaran di seluruh negara dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Dalam perkembangan sama, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Matthew Miller memberitahu wartawan pada Isnin, Israel telah memaklumkan kepada AS bahawa mereka sedang menjalankan "operasi terhad yang tertumpu pada infrastruktur Hezbollah berhampiran sempadan".

Tentera Israel secara dramatik meningkatkan perangnya terhadap Hezbollah pada pertengahan September, menyebabkan orang ramai di seluruh wilayah gentar dengan lebih banyak lagi keganasan yang akan datang.

Israel telah membunuh pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah dan beberapa komander tertinggi kumpulan itu dalam serangan di pinggir selatan Beirut dan meneruskan kempen serangan udara ke atas tapak Hezbollah di timur dan selatan Lubnan.

Lebih 1,000 orang telah terbunuh sejak Israel meningkatkan serangannya.

Hezbollah pula terus melancarkan roket dan peluru berpandu ke arah sasaran Israel.

Pada hari Isnin, kumpulan pejuang Lubnan itu berkata, pejuangnya menyasarkan penempatan Gesher Haziv Israel utara dengan "salvo roket." - Agensi