Israel berhak 'sambung perang di Gaza jika perlu' dengan sokongan Amerika - Benjamin Netanyahu

Agensi
Januari 18, 2025 07:00 MYT
Netanyahu berkata, Israel berhak meneruskan semula peperangan di Gaza dengan sokongan Amerika Syarikat (AS), sambil berikrar untuk membawa pulang semua tebusan yang ditahan di wilayah Palestin. - Gambar fail Reuters
BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberi amaran, Israel berhak untuk menyambung semula pertempuran dengan Hamas jika perjanjian gencatan senjata dengan kumpulan pejuang Palestin itu gagal - dan tindakan tersebut akan mendapat sokongan dari Amerika Syarikat (AS).
Dalam masa sama, Netanyahu berikrar untuk membawa pulang semua tebusan yang ditahan di wilayah Palestin.
"Kami berhak untuk menyambung semula peperangan jika perlu, dengan sokongan Amerika," kata Netanyahu dalam kenyataan yang disiarkan di televisyen pada Sabtu - sehari sebelum gencatan senjata berkuat kuasa.
"Kami sentiasa memikirkan semua tebusan kami... saya berjanji kepada anda bahawa kami akan mencapai semua matlamat kami dan membawa pulang semua tebusan.
"Dengan perjanjian ini, kami akan membawa pulang 33 saudara lelaki dan perempuan kami, sebahagian besar daripada mereka masih hidup," katanya.
Beliau berkata, fasa pertama selama 42 hari yang bermula pada Ahad adalah "gencatan senjata sementara.”
"Jika kami terpaksa menyambung semula peperangan, kami akan melakukannya dengan kekuatan," kata
Netanyahu, sambil menambah bahawa Israel telah "mengubah wajah Timur Tengah" sejak peperangan itu bermula. - Agensi
#gencatan senjata #Israel #Benjamin Netanyahu #tebusan perang
;