'Israel berdepan akibatnya jika larang masuk Masjid Al-Aqsa' - Erdogan
Astro Awani
Mac 6, 2024 09:15 MYT
Mac 6, 2024 09:15 MYT
ANKARA: Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan memberi amaran bahawa Israel berhadapan dengan akibat yang buruk sekiranya mereka melarang umat Islam Palestin daripada memasuki Masjid Al-Aqsa pada bulan Ramadan yang akan datang.
Erdogan berkata demikian dalam sidang media bersama dengan Presiden Palestin Mahmoud Abbas di Ankara.
"Dalam konteks bulan Ramadan yang semakin hampir, kami menyampaikan mesej kami ke tempat-tempat yang diperlukan mengenai keperluan untuk mencegah provokasi.
"Tuntutan ahli politik Israel yang radikal untuk menyekat kemasukan orang Islam ke Masjid Al-Aqsa adalah mengarut, langkah sudah pasti akan membawa akibat yang teruk," katanya.
Pejabat Perdana Menteri Israel mengeluarkan kenyataan akan membenarkan jumlah jemaah yang sama memasuki perkarangan Masjid Al-Aqsa Baitulmaqdis pada minggu pertama Ramadan seperti tahun-tahun sebelumnya.
Keputusan itu dipersetujui dengan pegawai tertinggi keselamatan Israel semasa mesyuarat mengenai persiapan menjelang bulan puasa umat Islam tanpa memberikan jumlah tertentu.