Israel berang dengan tindakan Interpol yang mengundi meluluskan Pihak Berkuasa Palestin (PNA) menjadi anggota pertubuhan polis antarabangsa itu, lapor agensi berita China Xinhua.

Keputusan itu dibuat meskipun Israel mengadakan kempen untuk menggagalkan undian berkenaan.

Terdahulu, keanggotaan Palestin dalam Interpol menerima undian melebihi majoriti dua pertiga.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengecam kelulusan itu dan tindakan berkenaan menurutnya melanggar perjanjian yang ditandatangani dengan Israel.

Netanyahu berkata, tindakan kepemimpinan Palestin sejak kebelakangan ini menyukarkan lagi peluang mencapai keamanan di antara kedua-dua negara.

Tindakan Palestin juga dilihat sebagai sebahagian daripada kempen negara itu untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa sebagai sebuah negara.

Ditubuhkan pada 1923, Interpol adalah pertubuhan polis antarabangsa terbesar dunia, bertujuan memerangi jenayah serta keganasan, dianggotai 192 negara selepas kemasukan Kepulauan Solomon dan Palestin pada Rabu.

-- BERNAMA