Israel bedil Rafah, tempat terakhir rakyat Palestin cari perlindungan

Astro Awani
Februari 11, 2024 08:00 MYT
Rakyat Palestin meratapi kematian ahli keluarga mereka yang terbunuh susulan serangan tentera rejim Zionis Israel di Rafah. - Foto AP
RAFAH: Serangan udara Israel mengorbankan 17 rakyat Palestin di Rafah, di bahagian sempadan Gaza, pada Sabtu.
Kawasan itu menjadi tempat lebih sejuta rakyat Palestin berlindung, ketika mereka tiada lagi tempat untuk dituju.
Empat bulan selepas perang di Gaza, pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengarahkan tentera untuk membangunkan rancangan mengosongkan Rafah dan mahu memusnahkan empat batalion Hamas yang dikatakan berlindung di sana.
Tentera Israel mendakwa, serangan udara telah membunuh dua pegawai Hamas di Rafah, pada Sabtu.
Dalam serangan Israel ke atas bandar-bandar Gaza sebelum ini, tentera mengarahkan orang awam melarikan diri ke selatan.
Bagaimanapun ketiadaan lokasi untuk mereka melarikan diri menyebabkan sejumlah besar orang awam maut.
Penduduk Palestin berkata, sebarang pencerobohan Israel di Rafah bermaksud pembunuhan beramai-ramai kerana ia lokasi perlindungan terakhir mereka.
Sejak 7 Oktober lalu, Israel melakukan pengeboman besar-besaran dan serangan darat di mana kira-kira 28,000 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam, telah terbunuh.
Konflik itu juga telah mengancam untuk merebak ke seluruh Asia Barat dengan Israel dan Hezbollah Lubnan kerap bertukar serangan yang meletus di Syria, Iraq dan Yaman.
Selepas rundingan gencatan senjata gagal, Netanyahu minggu lalu umum tentera Israel akan menyerang Rafah.
Pada Jumaat malam, serangan udara di sebuah rumah Rafah membunuh 11 orang dan mencederakan berpuluh-puluh lagi, manakala serangan kedua membunuh enam orang di sebuah rumah lain.
Di bandar utama Khan Younis di selatan Gaza, Kementerian Kesihatan Palestin menyuarakan kebimbangan terhadap operasi Israel di sekitar Hospital Nasser.
Kementerian itu berkata, tentera Israel telah mengepung hospital dan menembak di kawasan sekitar.
Ini membimbangkan kira-kira 300 kakitangan perubatan, 450 pesakit dan 10,000 orang berlindung di sana.
#Israel #Gaza #serangan #Hezbollah
;