Israel arah utara Gaza dikosongkan dalam tempoh 24 jam
Fahmi Izuddin
Oktober 13, 2023 12:25 MYT
Oktober 13, 2023 12:25 MYT
ISRAEL memaklumkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa penduduk di utara Wadi Gaza diarah bertindak mengosongkan kawasan penempatan mereka ke bahagian selatan Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam.
Pemakluman itu dibuat oleh Kementerian Pertahanan dan Tentera Pertahanan Israel (IDF) kepada jurucakap PBB Stephane Dujjaric pada tengah malam Khamis waktu tempatan.
"Lebih satu juta warga Palestin tinggal di kawasan ini. Antara lain, amaran itu mungkin memberi petanda akan berlaku satu operasi ketenteraan berskala besar di wilayah utara Gaza," menurut laporan Axios.
Portal itu memetik sumber berkata, arahan pengosongan itu bertujuan sebagai pemberitahuan agar orang awam tidak terjejas dengan operasi tersebut.
Susulan itu, PBB menyeru sekeras-kerasnya agar arahan pengosongan tersebut dibatalkan bagi mengelak situasi semasa menjadi lebih buruk.
Dujarric berkata, arahan itu termasuk untuk semua kakitangan PBB dan mereka yang berlindung di fasiliti PBB seperti sekolah, pusat kesihatan dan klinik.
"PBB menganggap ia sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan tanpa mengakibatkan kesan kemanusiaan yang dahsyat.
"PBB menyeru sekeras-kerasnya agar arahan tersebut, jika benar ada, dibatalkan bagi mengelak daripada menambah bencana kepada keadaan tragedi sedia ada," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dilaporkan sedang meminta penjelasan daripada kerajaan Israel di peringkat politik berhubung arahan tersebut.